Marsha Milan, Lan Solo antara penghibur pentas BIKF 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

POSTER pentas hiburan Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026 yang menampilkan barisan artis termasuk Marsha Milan dan Lan Solo di Lapangan Terbang Lama Bintulu dari 22 hingga 26 Julai ini.

BINTULU: Penyanyi terkenal Marsha Milan dan Lan Solo bakal memeriahkan pentas hiburan Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026 yang berlangsung selama lima malam dari 22 hingga 26 Julai ini.

Menurut kenyataan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA), persembahan yang bermula 8.00 malam setiap hari di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu itu turut menampilkan barisan penyanyi, pemuzik, penari, pengacara serta penghibur berbakat dari seluruh negara.

Katanya, pengunjung bukan sahaja akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan tarian, malah berpeluang menyaksikan persembahan ilusi serta silap mata eksklusif oleh Ben Magician.

“Persembahan itu dijangka menjanjikan pengalaman yang menghiburkan dan mengagumkan kepada seisi keluarga sepanjang penganjuran festival,” katanya.

Justeru, orang ramai dialu-alukan hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi menikmati pelbagai persembahan hiburan yang disediakan sempena festival bertaraf antarabangsa itu.

Selain pentas hiburan, BIKF 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti lain termasuk persembahan layang-layang gergasi, layang-layang menggunakan diod pemancar cahaya (LED), Trade Expo, persembahan kebudayaan serta pelbagai aktiviti kekeluargaan.

Festival edisi ke-19 itu dijangka menghimpunkan penyertaan daripada 19 negara dan 10 negeri di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Bintulu sebagai destinasi penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

Oleh Carolyne Utih