MIRI: Lebih 300 kenderaan dari seluruh Sarawak, Sabah dan Brunei membanjiri Miri menerusi penganjuran Pameran Automotif Miri (MARS) 2026 di sini hari ini.
Acara yang menggabungkan elemen automotif, muzik dan gaya hidup itu turut menghimpunkan golongan muda serta pempengaruh dan pencipta kandungan automotif dari dalam dan luar negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, berkata penganjuran MARS 2026 bukan sekadar menjadi platform untuk peminat automotif berkumpul, malah mampu membantu mempromosikan Miri sebagai destinasi menarik untuk dikunjungi.
Katanya, kehadiran pencipta kandungan yang mempunyai jumlah keseluruhan lebih 10 juta pengikut turut memberi peluang kepada Miri untuk mendapat pendedahan lebih luas menerusi perkongsian mereka di media sosial.
“Ini bukan sekadar acara automotif. Ia juga satu peluang untuk membawa lebih ramai orang datang ke Miri, mengenali bandar kita dan merasai sendiri suasana Miri.
“Dengan para pencipta kandungan yang mempunyai lebih 10 juta pengikut secara keseluruhan, Miri juga berpeluang mendapat lebih banyak pendedahan melalui perkongsian mereka,” katanya semasa hadir pada pameran tersebut.
MARS 2026 turut menampilkan jenama automotif antarabangsa dari Jepun, Hardcore Tokyo dan PANDEM Rocket Bunny.
Acara itu turut disertai pempengaruh automotif dan pencipta kandungan dari Australia serta Malaysia, antaranya Smokey Nicole, Clay Wong, Motormaniac, Galeri Kereta, Biadap, Choii Motorsport dan Downshift.
Selain mengetengahkan dunia automotif, acara berkenaan turut diserikan dengan elemen muzik menerusi persembahan penyanyi kelahiran Miri, Noh Salleh, serta artis muda dari Kuching, Adruce Azman.
Adam berkata, perkembangan acara seperti MARS 2026 membuktikan terdapat ruang untuk lebih banyak program yang mengetengahkan idea, kreativiti dan bakat golongan muda dianjurkan di Miri.
“Saya gembira melihat acara seperti ini berkembang di Miri. Semoga lebih banyak acara dengan idea, kreativiti dan semangat anak muda dapat terus diadakan di bandar kita,” katanya.
Penganjuran MARS 2026 dilihat turut memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan dengan menarik kehadiran peserta serta pengunjung dari luar Miri, selain memperkenalkan bandar raya itu kepada komuniti automotif di peringkat serantau.
Oleh Liong Chai Ling




