
KUALA LUMPUR: Penyanyi kelahiran Filipina yang kini menetap di Malaysia, Mark Adam hadir dengan buah tangan terbaharu berjudul Jutawan, berkisar tentang kehidupan yang kaya dengan adab.
Berbeza dengan karya terdahulu, Jutawan mengetengahkan aura positif melalui melodi ringan dan bersahaja, namun tetap sarat dengan mesej yang jelas.
Mark atau nama sebenarnya Fikri Mark Adam, berkata ilham penghasilan lagu tersebut tercetus selepas melihat pelbagai isu negatif yang berlaku ketika ini, terutama di media sosial.
“Apabila saya buka media sosial, saya lihat banyak perkara negatif dan tidak sihat. Selain itu, golongan remaja serta kanak-kanak yang melihat semua ini (di media sosial) akan mudah terpengaruh.
“Jadi, dengan lagu ini, diharap dapat menyuntik perkara positif (dalam diri kita), sebab kita sedar dunia kita sekarang semakin negatif… saya buat (lagu ini) untuk ingatkan kita semua mengenai peranan kita dalam dunia ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata penghasilan lagu itu juga mengingatkannya akan pesanan kedua ibu bapanya tentang kepentingan menjaga adab.
“Saya berasal daripada keluarga yang sangat miskin sehingga perlu merantau, tetapi saya diajar bahawa sesiapa saja akan dipandang tinggi jika mempunyai adab.
“Dengan adab, kita mampu mengubah banyak perkara,” katanya, menambah bahawa lagu itu dicipta bersama-sama dengan AdamDian dan lirik ditulis oleh Mark, Affa Eusoff serta Efry Arwis.
Mark berkata jutawan yang dimaksudkan bukan berkaitan kekayaan wang ringgit, tetapi tentang seorang yang kaya dengan adab.
Beliau turut berharap mesej dalam lagu keempatnya bersama-sama Suria Records itu mampu memberi kesedaran khususnya kepada generasi muda.
Lagu itu sedia untuk dimuat turun di iTunes serta distrim melalui platform muzik seperti Apple Music, Deezer, YouTube Music dan Spotify.- Bernama