Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Maritim Malaysia, TLDM perkukuh pertahanan lautan negara di Sarawak
  • SEMASA

Maritim Malaysia, TLDM perkukuh pertahanan lautan negara di Sarawak

Utusan Sarawak 2 days ago
PENGANJURAN Eksesais Samudera Perkasa Timur Siri 3/2025 dan OSTEX East 2/25 Sarawak yang berlangsung dari 5 hingga 10 Oktober lalu. Foto Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus memperkukuh hubungan strategik serta kesiapsiagaan pertahanan maritim negara menerusi penganjuran Eksesais Samudera Perkasa Timur Siri 3/2025 dan OSTEX East 2/25 Sarawak yang berlangsung dari 5 hingga 10 Oktober lalu.

Menurut kenyataan Maritim Malaysia, latihan gabungan itu diadakan di Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak dan di perairan Kuching, dengan penyertaan pelbagai aset serta anggota daripada kedua-dua agensi utama keselamatan laut negara.

PENGANJURAN Eksesais Samudera Perkasa Timur Siri 3/2025 dan OSTEX East 2/25 Sarawak yang berlangsung dari 5 hingga 10 Oktober lalu. Foto Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Eksesais bersepadu tersebut bertujuan memperkukuh kebolehoperasian bersama (interoperability) antara Maritim Malaysia dan TLDM dalam menghadapi pelbagai bentuk cabaran keselamatan maritim, termasuk penguatkuasaan undang-undang laut, rondaan keselamatan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta latihan taktik manuver di laut.

Latihan dilaksanakan dalam tiga fasa utama iaitu Pelabuhan, Laut, dan Penutupan bagi memastikan setiap aspek operasi diuji dengan berkesan.

Fasa Pelabuhan menumpukan kepada taklimat, sesi Subject Matter Expert Exchange serta perbincangan koordinasi antara pegawai dan anggota kedua-dua agensi. 

Fasa Laut pula menampilkan pelaksanaan latihan taktikal dan operasi maritim yang menguji keupayaan aset serta kru dalam situasi sebenar, manakala Fasa Penutupan menjadi platform penilaian prestasi dan penghargaan kepada semua peserta.

PENGANJURAN Eksesais Samudera Perkasa Timur Siri 3/2025 dan OSTEX East 2/25 Sarawak yang berlangsung dari 5 hingga 10 Oktober lalu. Foto Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Antara aset Maritim Malaysia yang terlibat ialah Kapal Maritim (KM) Sri Aman, KM Ikhlas, KM Stapa, KM Bijak, KM Siakap serta empat bot Maritim. Bagi TLDM pula, penyertaan melibatkan Helikopter AW139, Kapal Diraja (KD) Kelantan, KD Rencong, KD Badik, dan KD Paus.

Penyertaan pelbagai aset utama itu melihatkan tahap kesiapsiagaan tinggi kedua-dua agensi dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Selain latihan di laut, pelbagai aktiviti seperti perbincangan strategik dan acara sukan turut diadakan bagi memperkukuh semangat kerjasama serta silaturahim antara warga Maritim Malaysia dan TLDM. 

Pendekatan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan profesional, malah membina kepercayaan dan semangat kerja berpasukan yang kukuh di lapangan.

PENGANJURAN Eksesais Samudera Perkasa Timur Siri 3/2025 dan OSTEX East 2/25 Sarawak yang berlangsung dari 5 hingga 10 Oktober lalu. Foto Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Penganjuran eksesais ini membuktikan komitmen berterusan kedua-dua agensi dalam memperkukuh keselamatan serta kestabilan maritim di zon timur negara. 

Melalui latihan ini, Maritim Malaysia dan TLDM dapat menilai keberkesanan prosedur operasi standard (SOP), meningkatkan kecekapan taktikal, dan memperkukuh kesiapsiagaan dalam mendepani ancaman semasa.

Eksesais Samudera Perkasa Timur Siri 3/2025 dan OSTEX East 2/25 sekali lagi menegaskan semangat setiakawan dan keutuhan hubungan strategik antara Maritim Malaysia serta TLDM sebagai tunjang utama keselamatan maritim negara, demi memastikan perairan Malaysia terus aman, selamat dan berdaulat.

Oleh Adi Safarman

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: UPSI lokasi pertama latihan PLKN peringkat IPTA
Next: Baitulmal Sarawak kekal berperanan di peringkat negeri – Abang Johari

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.