Maritim Malaysia selamatkan kru kapal LNG dalam operasi MEDEVAC

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan seorang kru kapal dagang gas asli cecair (LNG) yang mengalami simptom apendisitis menerusi operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) di perairan Bintulu pada Khamis lalu.

Pengarah Maritim Zon Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, Pusat Penyelamat Maritim Kecil (MRSC) Kuching menerima e-mel daripada Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya berhubung permohonan bantuan kecemasan untuk memindahkan seorang kru kapal yang memerlukan rawatan perubatan segera.

Susulan permohonan itu, aset Maritim Malaysia, Kilat 44, yang sedang menjalankan rondaan operasi diatur gerak ke lokasi kejadian, kira-kira 15 batu nautika di barat laut Tanjung Kidurong, bagi melaksanakan operasi MEDEVAC.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota Maritim Malaysia memberikan bantuan kecemasan awal sebelum mangsa dipindahkan ke bot ronda Maritim Malaysia untuk dibawa ke jeti berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Mangsa dikenali sebagai John Michael, 28, warganegara Filipina, sebelum diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pelabuhan Bintulu dan seterusnya dibawa menaiki ambulans ke Hospital Kemena untuk menerima rawatan.

Muhammad Suffian berkata, kejayaan operasi itu membuktikan kesiapsiagaan aset dan anggota Maritim Malaysia dalam memberikan tindak balas pantas terhadap sebarang kecemasan di laut, khususnya yang melibatkan keselamatan nyawa komuniti maritim.

Beliau turut menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut serta segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus komited memperkukuh keupayaan operasi mencari dan menyelamat serta bantuan kecemasan maritim bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan komuniti maritim sentiasa terpelihara.


Oleh Faizah Muzidi