
“ABANG, lama lagi?”
Aku mencangkung perlahan di hadapan Mariam, berusaha merapatkan pandangan dengannya. Wajahnya polos, seolah-olah sedang menunggu sesuatu dariku. Dalam jarak begitu dekat, mata kami bertemu. Ada rasa ingin dimengerti tanpa perlu banyak kata. Bibir Mariam kering dan merekah. Kesan luka minggu lepas akibat batu yang terpelanting daripada runtuhan bangunan mengenai mukanya, memecahkan lapisan kulit hingga darah mengalir bercampur dengan debu tanah yang melekat kelihatan sudah kering.
“Kita berjalan sedikit lagi, dik. Insya-Allah, tak lama lagi.” Aku menyedapkan hati Mariam.
Mariam mengangguk sambil tersenyum nipis. Dia kembali menggenggam tanganku dan mengajak aku untuk meneruskan semula perjalanan.
Ketika ini, langit di atas kepala kami sentiasa kelam. Asap hitam berkepul menutup sinar matahari, seakan-akan Tuhan mahu menutup pandangan manusia terhadap betapa kejamnya mereka sendiri. Dunia ini sudah hancur. Yang tinggal hanyalah runtuhan bangunan, bau besi terbakar dan tangisan manusia yang tidak lagi kedengaran kerana keletihan. Aku diam sambil menggosok mata yang mulai pedih.
Aku kuatkan genggaman tangan Mariam. Kami melangkah perlahan di atas jalan yang retak, diapit bangkai kereta dan rumah-rumah yang sudah menjadi abu.
Sejak ayah dan ibu terbunuh dalam serangan udara, hanya tinggal aku dan Mariam sahaja yang masih hidup. Dia baru tujuh tahun, tubuhnya kecil dan kurus, wajahnya pucat tetapi matanya masih menyimpan sisa cahaya yang kami sama-sama tetapi 3 tahun yang lalu ketika negara ini masih lagi aman dan damai. Aku tahu cahaya di matanya semakin pudar saban hari.
“Abang, perut Mariam lapar,” bisiknya perlahan. Suara itu hampir tenggelam oleh deruman dron pemantau yang sentiasa berlegar di langit.
Aku memeluk bahu Mariam. Memintanya untuk bersabar. Dan, dia hanya mengangguk kecil, meski air matanya menitis tanpa dipinta.
Beberapa hari lalu, kami sempat singgah di khemah pelarian di pinggir bandar. Aku sangkakan itu tempat selamat. Tapi rupa-rupanya, di sana manusia hidup dalam desakan dan tekanan. Kami sentiasa diselubungi ketakutan. Kereta kebal tentera musuh masih lagi berkeliaran tidak ubah seperti singa yang sedang memburu rusa. Silap sedikit, melayanglah nyawa terkena peluru. Saban hari, pasti akan ada nyawa menjadi korban kerakusan tidak berasas pihak musuh. Pada malamnya, aku mendengar Mariam menangis dalam ketakutan.
Pada waktu siang, orang ramai berebut sekotak biskut kering yang dilempar tentera. Ada yang menendang, ada yang menumbuk. Ibu-ibu menjerit, anak-anak meraung kelaparan. Aku cuba meredah untuk mendapatkan sedikit makanan buat Mariam, tetapi seorang lelaki dewasa menolak aku jatuh.
“Berikan roti ini untuk aku. Aku ada bayi yang perlu hidup,” katanya dengan mata yang berkaca.
Aku mengalah meski perut semakin derita menanggung kelaparan. Aku bangkit dengan darah di bibir, hanya mampu menatap mereka yang masing-masing berjuang demi sedikit makanan untuk mengisi perut walau dengan apa cara sekalipun. Aku kembali kepada Mariam dengan tangan kosong. Dia hanya tersenyum tipis, memeluk lututnya yang kurus.
“Tak apa, abang. Mariam masih boleh tunggu.”
Hati aku remuk. Aku mengepal penumbuk. Benci kepada kekejaman dunia yang telah merampas kehidupan kami menjadi padang jarak. Dunia sudah hilang nuraninya. Kemanusiaan telah dikuburkan bersama jasad-jasad yang ditanam. Negara yang mempunyai politik yang hebat pun hanya menikus apabila melihat kami dizalimi seumpama haiwan. Semuanya menutup mata, mengunci mulut dan memekak telinga melihat keharmonian dan kebahagiaan kami dirampas tanpa ihsan!
Namun, aku pegang kata ibu dan ayah, “Ini tanah berdaulat kita. Kita penghuni kepada ‘tanah yang Allah pilih’ dan Allah akan memelihara penduduknya. Bertahanlah untuk membelanya,”
Petang itu aku dan beberapa orang lagi membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan menuju ke Wilayah Barat. Di situ terletaknya sebuah pelabuhan yang dikatakan tempat untuk bantuan keamanan dan kemanusiaan dari pelusuk negara datang untuk menghulurkan bantuan. Ketika di khemah tersebut aku telah membeli sebuah handphone yang sudah lengkap dengan simkad dan internet yang terhad. Aku menukarkan handphone tersebut dengan troli supermarket yang aku temui dalam runtuhan bangunan beberapa tahun lalu. Troli itulah kenderaan kecil aku dan Maryam untuk mengusung keperluan kami berpindah randah.
Di situlah Mariam tertidur letih, haus dan kelaparan, siang dan malam. Namun, aku terpaksa korbankan troli tersebut demi mencari cara untuk berhubung dengan dunia luar. Dan seperti selalu, Mariam tidak banyak tanya dan soal. Dia reda dan dia sanggup berjalan kaki asalkan aku sentiasa di sisinya.
Setelah mendapat handphone, hampir setiap hari aku merakam video perjalanan dan kehidupan sepanjang perjalanan menuju ke Pelabuhan Barat. Kadang-kadang aku menemui sebotol air separuh penuh di celah runtuhan. Kadang-kadang, seketul roti keras yang sudah berkulat. Itulah yang menahan nyawa kami untuk terus bertahan bagi meneruskan perjalanan.
Di tengah perjalanan, Mariam sering memandang langit yang diselaputi asap.
“Abang… kenapa mereka buat begini pada kita?” Soalan itu tidak jemu Mariam utarakan.
Dan seperti biasa aku hanya mengulum senyuman kelat. Terdiam. Bagaimana aku mahu menjelaskan kepada anak kecil tentang kerakusan kuasa dunia? Tentang mereka yang tamak pada minyak, tanah dan politik, hingga sanggup membunuh berjuta jiwa? Kerakusan mereka itu pula disokong oleh negara-negara perkasa yang lain menyebabkan nyawa rakyat seperti kami seperti nyawa semut yang boleh diinjak dan dibunuh tanpa bersalah.
“Dik, mereka sudah lupa bahawa Allah Maha Melihat. Tapi ingatlah, setiap titis darah orang yang teraniaya tidak akan sia-sia. Allah janji, Dia akan membela kita.”
Dia mengangguk, matanya berkaca, tetapi senyumannya tetap terukir indah. Senyuman yang mematahkan hatiku.
“Kau nak tahu dik? Ada satu Gerakan Kemanusiaan yang sangat berani mencabar kuasa politik dunia. Sanggup meredah lautan dengan kapal dan bot layar untuk menuju kepada kita. Mereka datang membawa banyak makanan, ubatan dan pakaian untuk kita.” Aku bercerita dengan bersungguh-sungguh sambil menyerahkan handphone kepada Mariam.
Melihat sahaja video itu, air mata Mariam laju menuruni pipi. Mukanya kemerahan. Tidak pucat seperti selalu. Bibirnya mula mengukir senyuman yang mekar.
“Berapa lama lagi mereka akan sampai, abang?” tanya Mariam penuh dengan keterujaan. Ada harapan yang indah mulai subur dari jiwanya yang kelam.
“Dalam beberapa hari lagi, dik! Jadi, aku nak kau kuat. Jangan putus asa. Kita sama-sama bersemangat untuk meneruskan perjalanan menuju ke Pelabuhan Barat dengan selamat.”
Mariam mengangguk dengan girang. Semenjak itu, aku selalu melihat senyuman terbit di bibir Mariam. Semasa dalam perjalanan, Mariam menjumpai sebuah buku yang sudah kotor dan pudar di sebalik rimbunan konkrit. Mak Cik Hawa yang bersama rombongan perjalanan kami telah menghadiahkan crayon yang sudah patah kepada Maryam. Mariam begitu seronok menulis dan melukis tentang keterujaannya untuk bertemu dengan rombongan misi kemanusiaan itu. Saban hari, buku itulah tempat Mariam mencurahkan segalanya.
Dalam video berdurasi 2 minit, aku sempat merakam tingkah laku Mariam ketika melukis.
“Mariam lukis kita sedang makan tembikai. Ini kebun tembikai. Pokok tembikai ini kepunyaan kita. Kita makan dengan kenyang. Pakai baju cantik dan bersih. Nanti, Mariam nak bagi lukisan ini dengan Kakak Nur.” Pipi aku merona kemerahan apabila dia menyebut nama Nur. Nur adalah salah seorang aktivis kemanusiaan yang bersama-sama dengan rombongan Misi Kemanusiaan itu.
Aku berhubung dengan Nur Ketika Nur membuat liputan secara live semasa pelayaran mereka meredah lautan. Nur seorang gadis yang banyak mengorbankan usia remajanya demi misi kemanusiaan. Dikatakan, dia sudah banyak merantau ke negara-negara bergolak untuk menyampaikan misi kemanusiaan. Ketabahan dan tekadnya yang kuat untuk sampai kepada kami begitu menyentuh hati. Bukan sedikit cabaran yang mereka lalui untuk sampai hingga ke tahap ini.
Mereka juga sedang mempertaruhkan nyawa untuk kami. Sudah kali ke berapa Misi Kemanusiaan dari negara-negara lain cuba mara untuk memecah benteng kekejaman negara musuh, namun selalu dipintas dan digagalkan. Aku berharap, kali ini mereka berjaya melepasi sekatan durjana yang menguburkan kami di sini. Kerana semangat daripada Nur jugalah aku semakin bersemangat untuk meneruskan perjalanan menuju ke Pelabuhan Barat.
“Khaled, kami dah menghampiri zon kuning. Insya Allah, kita jumpa di Pelabuhan. Saya ada hadiah untuk kamu dan Mariam. Saya akan tunggu kamu kalau saya sampai dahulu. Dan, kamu akan tunggu saya kalau ,kamu yang sampai dahulu. Janji dengan saya, ya!”
Dalam debar yang menyesakkan dada memikirkan bahaya yang tak terduga terhadap misi mereka, dalam masa itu juga aku sentiasa bersiap siaga untuk keselamatan kami. Ketika ini, kami sudah berada di kawasan yang dikawal ketat oleh tentera musuh. Namun, ada satu laluan yang membolehkan kami untuk melepasi sekatan tersebut dengan selamat sekiranya kami bergerak secara senyap.
Subuh itu, kami mencari air di tepi sungai yang hampir kering. Udara berbau busuk mayat. Di kejauhan, bunyi derap but tentera bergema. Aku segera menarik tangan Mariam. Kami berlari, bersembunyi di balik dinding batu yang separuh runtuh.
Namun langkah kecil Mariam tersandung, tubuhnya jatuh terdedah.
“Mariam, cepat!” aku menjerit.
Dentuman tembakan meletup. Seketika dunia menjadi senyap. Aku berpaling, dan di depan mataku. Mariam rebah dengan dada berdarah. Peluru itu menembusinya. Aku terhempas ke sisinya.
“Mariam! Jangan tinggalkan abang! Tolong, bertahanlah!”
Dia memandangku, senyum kecil terukir di wajah pucatnya.
“Abang, jangan menangis. Ingat janji Allah. Mariam pergi dulu. Kita jumpa lagi, di sana.” Nafasnya terputus. Matanya terpejam. Tubuhnya menjadi dingin dalam pelukanku.
Aku menjerit, namun tentera itu berlalu tanpa menoleh. Seperti syaitan yang memperoleh kemenangan, mereka bersorak gembira kerana berjaya menggugurkan nyawa kami! Bagi mereka, Mariam hanya angka kecil dalam ribuan korban. Tapi bagi aku, dia adalah seluruh dunia.
Aku mendakap jasadnya semalaman, air mataku mengalir di pipinya. Berkali-kali Mak Cik Hawa dan rombongan lain menenangkan aku dan meminta aku untuk segera mengembumikan jenazah Mariam. Namun, aku tak mampu. Mariam adalah hidupku. Bagaimana aku hendak meneruskan kehidupan ini tanpa Mariam?
Dalam tangisan, aku teringat firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 169, “Janganlah kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati; bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”
Dan sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya orang yang sabar akan diberi pahala tanpa batas.”
Aku tahu, Mariam kini sedang berlari bebas di taman syurga, minum dari sungai susu dan madu, sedang aku masih di sini, bergelumang debu dan darah.
Aku berjalan seorang diri, membawa kenangan Mariam dalam setiap langkah. Terkadang menangis apabila rindukan Mariam.
“Bagi buku ini kepada Kakak Nur, ya?” kata Mariam. Aku pandang Mariam. Dia tersenyum kecil dan manis.
“Bagilah sendiri dengan dia. Kenapa abang pula?” Mariam ketawa geli hati melihat ulahku yang dalam keadaan tidak keruan.
“Abang janji, ya. Bagi ‘Mariam’ untuk kakak,” Mariam masih lagi mendesak sambil menghulurkan buku catatannya yang ditulis besar dengan nama ‘Mariam’. Aku mengangguk sambil memasukkan ‘Mariam’ ke dalam jaket baju. Itulah kali terakhir aku melihat senyuman manis Mariam.
Aku berjanji akan menjadi saksi. Saksi bahawa pernah ada seorang gadis kecil bernama Mariam yang terkorban kerana kerakusan manusia. Saksi bahawa betapa kejamnya peradaban ini terhadap kami hingga nyawa tidak lagi bernilai apa-apa.
Di tengah runtuhan, aku mendongak ke langit kelabu. “Ya Allah… jika dunia tidak lagi punya belas, izinkanlah aku membawa doa ini kepada-Mu. Terimalah Mariam sebagai bunga syurga-Mu. Dan jadikan penderitaan kami sebagai bukti bahawa Engkau tidak pernah meninggalkan hamba-hamba-Mu yang teraniaya.”
Beberapa hari perjalanan, tanpa alat komunikasi untuk mengetahui perjalanan misi kemanusiaan itu, kerana handphone aku telah kehabisan bateri, aku akhirnya sampai di tebing batu yang menghadap laut. Banyak kapal di Pelabuhan sedang menurunkan layar. Aku bersyukur aku belum terlambat kerana aku dimaklumkan kapal-kapal tersebut baru sahaja sampai beberapa jam yang lepas. Dan, mereka hanya dibenarkan berada di sini untuk beberapa waktu sahaja sebelum mereka diarahkan untuk pulang meninggalkan tanah kami semula.
Kami meraikan kedatangan mereka dengan bahagia dan penuh kesyukuran. Air mata adalah saksi kepada segala rasa yang ditanggung selama ini. Setelah beberapa tahun kami mengikat perut, tiada pakaian yang selesa dan tiada ubatan mengubat luka, akhirnya Allah hadirkan insan-insan terpilih ini untuk menghulur bantuan.
Dari kejauhan dalam khalayak ramai, aku melihat seorang gadis memakai baju berwarna hitam dan bertudung hitam. Dia memakai vas berwarna biru sambil berdiri pegun memandangku. Walaupun ini pertemuan pertama kami, namun dengan hanya satu tatapan kami sudah menjangka, ya. Itulah dia! Aku senyum kelat. Nur mengerutkan kening sambil berlari laju merempuh lautan manusia di hadapannya untuk sampai kepada aku. Dari pandangannya, aku tahu dia mencari sosok seseorang yang sering ada di sampingku. Sosok yang sering Nur tenangkan apabila dia menangis dalam rindu dan ketakutan. Mariam.
Aku genggam ‘Mariam’ rapat ke dada sambil berlari untuk mendekati Nur yang sudah bergelinang air mata. ‘Mariam’ ini harus kuserahkan kepada Nur seperti yang aku telah janjikan.
Siti Hajar Ahmad