
Leeds, United Kingdom: Enzo Maresca mengecam prestasi lemah Chelsea selepas cabaran mereka memburu gelaran Liga Perdana mengalami tamparan hebat dengan kekalahan mengejut 3-1 kepada Leeds di Elland Road, awal pagi tadi.
Pasukan bimbingan Maresca menanggung akibat aksi separuh masa pertama yang buruk apabila Leeds menjaringkan gol melalui Jaka Bijol dan Ao Tanaka.
Pedro Neto mengurangkan defisit selepas rehat, namun Chelsea melepaskan gol ketiga yang mengejutkan hasil jaringan Dominic Calvert-Lewin pada penghujung perlawanan.
Kekalahan kepada Leeds yang berada di tangga ke-17 dan tewas dalam empat perlawanan sebelum ini menjadi tamparan besar kepada harapan Chelsea untuk bersaing dengan pendahulu liga, Arsenal.
Kekalahan pertama The Blues dalam lapan perlawanan semua kejohanan itu menyebabkan mereka ketinggalan sembilan mata di belakang Arsenal di tangga keempat.
“Tiada seorang pun berada pada tahap terbaik,” kata Maresca. “Mereka lebih baik daripada kami dalam semua aspek, mereka layak menang.
“Malam yang amat buruk. Kami bermain begitu baik menentang Arsenal dan Barcelona, tetapi itu tidak bermakna kami akan sentiasa beraksi sama kerana ada situasi yang perlu diuruskan, pemain yang perlu dirotasi.
“Satu-satunya perkara yang boleh kami lakukan ialah cuba faham apa yang berlaku dan kemudian bermula semula.”
Chelsea beraksi tanpa pemain tengah berpengaruh, Moises Caicedo, selepas bintang Ecuador itu dibuang padang dalam keputusan seri 1-1 menentang Arsenal pada Ahad.
The Blues sempat mendahului melalui Trevoh Chalobah selepas Caicedo dibuang padang, namun gagal bertahan apabila Mikel Merino menyamakan kedudukan untuk Arsenal.
Maresca merehatkan Neto, Reece James dan Wesley Fofana dalam usaha menyegarkan pasukan, tetapi Chelsea tetap kelihatan lesu selepas beraksi lama dengan 10 pemain menentang Arsenal, dan Leeds mengambil kesempatan penuh terhadap keletihan mental serta fizikal mereka.
“Saya harap ini hanya malam yang buruk kerana ia perlawanan yang sukar untuk diambil pengajaran. Mereka jauh lebih baik dalam perebutan bola,” kata Maresca.
“Ini Liga Perdana, anda perlu beraksi setiap perlawanan sama ada di laman sendiri atau tempat lawan.
“Kami merindui Moises malam ini dan akan terus merinduinya dalam perlawanan akan datang. Dia pemain penting untuk mana-mana pasukan di dunia.”
Leeds membuka jaringan seawal minit keenam apabila sepakan sudut Anton Stach menemui Bijol yang menanduk melepasi Robert Sanchez selepas mengatasi Liam Delap. -AFP