
KUALA LUMPUR: Agensi penarafan Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC Ratings) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada 2025 daripada 5.1 peratus pada 2024 ketika ketidaktentuan perdagangan luar terus menjejaskan momentun eksport.
Pada masa sama, agensi penarafan itu menyifatkan permintaan domestik kekal berdaya tahan, didorong oleh peningkatan pasaran tenaga kerja, penetapan dasar akomodatif serta pemulihan pelancongan.
“Indeks borong dan runcit tumbuh 4.8 peratus tahun ke tahun sepanjang April berbanding 3.6 peratus bagi tempoh sama pada tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MARC Ratings berkata sektor pembinaan mencecah 14.2 peratus pada suku pertama 2025 (suku pertama 2024: 20.7 peratus) manakala pertanian meningkat 0.6 peratus (suku keempat 2024: -0.7 peratus).
“Bagaimanapun, ketidakpastian luaran menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus pada Julai daripada 3.0 peratus. Bank pusat itu dijangka mengekalkan fleksibiliti dasar serta memberi reaksi mengikut data akan datang,” katanya.
Di peringkat global, MARC Ratings mengunjurkan pertumbuhan ekonomi menyederhana pada separuh kedua tahun ini berikutan ketegangan perdagangan dan risiko geopolitik mengasak sentimen.
Tarif AS, katanya, telah mencetuskan kebimbangan mengenai aspek perlindungan yang hanya menyumbang kepada pertumbuhan global yang lebih perlahan.
“AS mengenakan tarif sebanyak 25 peratus yang hanya memaparkan keperluan bagi timbal balik lebih besar dalam rundingan pada masa akan datang.
“Bagi tempoh masa ke masa, tarif AS itu juga dijangka kekal lebih tinggi berbanding kadar purata global jangka panjang sebanyak 2.7 peratus yang berkemungkinan dalam julat belasan peratus lebih tinggi,” katanya.
Mengulas Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), MARC Ratings berkata MGS mencatat permintaan kukuh bagi separuh pertama 2025, disokong oleh asas ekonomi yang sihat serta perubahan dasar yang cenderung lebih longgar oleh bank-bank pusat utama.
“Jumlah aliran masuk bersih hutang asing yang mencecah RM26.9 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei, mendorong hasil MGS turun 15-42 mata asas. Faktor ini menyumbang kenaikan 5.3 peratus nilai ringgit sejak awal tahun hingga pertengahan Jun.
“Bagi kami, aliran ini berkemungkinan perlahan dalam separuh kedua 2025 akibat ketidaktentuan luaran yang berterusan. Namun begitu, pembaharuan struktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, pelarasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta jangkaan pelonggaran dasar oleh Rizab Persekutuan AS boleh mempengaruhi dari segi mengurangkan risiko penyusutan,” katanya.
Agensi penarafan itu juga menjangkakan hasil MGS 10 tahun adalah sekitar 3.50 peratus manakala ringgit mencecah RM4.25/dolar AS menjelang akhir tahun.
Dalam pada itu, ringgit memulakan urus niaga Jumaat dengan lebih rendah berbanding dolar AS pada paras 4.2440/2640 daripada penutup 4.2410/2505 semalam, disokong oleh Indeks Dolar AS (DXY) yang lebih mengukuh serta isyarat bercampur-campur daripada bank pusat negara maju itu.– Bernama