
SARIKEI: Penganjuran Separuh Maraton Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang merupakan usaha memperkenalkan jambatan tersebut sebagai ikon pelancongan dan pembangunan infrastruktur baharu bagi Daerah Sarikei.
Melalui penganjuran acara larian Separuh Maraton, ia bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan tetapi juga dapat memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh, berkata ia merupakan julung kalinya diadakan di Daerah Sarikei tahun ini.
“Jadi, kalau kita lihat dari segi penglibatannya, seramai 1,827 peserta yang mendaftar untuk mengambil bahagian dalam Separuh Maraton pada kali ini.
“Ini merupakan satu pencapaian yang begitu baik kerana dari awalnya kita mensasarkan hanya 1,000 peserta sahaja yang mengambil bahagian dalam Separuh Maraton ini yang melibatkan 21 kilometer (km) dari Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang ke bandar Sarikei, 10km untuk kategori Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka, Lelaki Veteran dan Wanita Veteran dan 5km Larian Santai.
“Alhamdulillah, cuaca begitu baik dan kita lihat suasana yang meriah di bandar Sarikei hari ini dan kita harap dengan sambutan yang sebegini…kita melihat ada pentingnya untuk kita memperluaskan lagi maraton ini untuk tahun yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Separuh Maraton Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang bertempat di Dewan Suarah Sarikei, hari ini.
Katanya, seperti yang Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg maklumkan pada Safari Memancing Tanjung Manis 2025, maraton merupakan sukan popular dalam kalangan rakyat Sarawak.
“Ini mungkin akan kita selaraskan juga dengan maraton yang diadakan di bandar-bandar yang ada di Sarawak ini supaya ia tidak bertindih.
“Kadang-kadang kalau kita lihat dari Maraton Penuh atau Separuh Maraton di Kuching, ia banyak diadakan oleh penaja-penaja yang tertentu.
“Oleh sebab itulah, kita memohon supaya kementerian-kementerian tertentu untuk dapat menyelaraskan maraton ini supaya ia dapat diperluaskan dan supaya ia tidak bertindih,” katanya.
Tambahnya, sekiranya maraton tersebut dapat diadakan, beliau berharap ia bermula dari Lawas ataupun Limbang dan berakhir di Kuching.
Oleh Earl Anek