ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memperhebatkan agenda Ekonomi Digital dan Pusat Data di Sarawak untuk memenuhi permintaan yang terus meningkat di semua sektor ekonomi dalam negeri dan juga keperluan global.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dengan kemajuan teknologi baru, pusat data dan inovasi ini adalah ‘minyak baharu’ bagi ekonomi Sarawak.
“Kapasiti yang ditingkatkan akan disokong oleh keperluan perkhidmatan digital yang semakin meningkat seperti Digital ID, Digital Wallet, Big Data, Blockchain, Fintech, Virtual Reality, Augmented Reality dan Artificial Intelligence.
“Pusat data dan inovasi ini akan lestari kepada persekitaran kerana menggunakan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Strategi Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19 Sehingga Tahun 2030 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.
Ditanya pemberita mengenai seberapa cepat idea itu akan terbentuk, Abang Johari berkata ia akan bergantung pada input dari sektor swasta kepada kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kecil Pusat Data dan Inovasi yang dibentuk semalam.
“Mereka (jawatankuasa kecil) ini akan mengkaji secara terperinci dan berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama-sama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan kemudian akan melihat apa cadangan mereka,” jelasnya.
Jelasnya, Sarawak mempunyai pengetahuan prasyarat di mana ia dapat mengembangkan bakatnya sendiri dan negeri itu mempunyai tenaga untuk pengembangan Pusat Data itu.
“Kita mesti ingat bahawa semasa wabak ini, banyak orang menggunakan perkhidmatan secara atas talian, dan Sarawak bernasib baik kerana mempunyai asas, semua perniagaan berada dalam talian, bahkan penjejakan pesakit Covid-19 turut dilakukan secara dalam talian.
“Sehubungan itu, secara digital saya rasa kita berada di landasan yang betul,” ujarnya.
Beliau menambah, sektor perlombongan akan menjadi sumber pendapatan baharu baru bagi Kerajaan Sarawak kerana negeri mempunyai banyak mineral dan sumber semula jadi seperti minyak, gas, arang batu, pasir silika, batu kapur dan lain-lain sebagai sumber pendapatan baru.
“Sektor perlombongan kami, khususnya sektor minyak dan gas akan menggunakan Pusat Data dan Inovasi untuk meningkatkan perancangan dan penggunaan sumbernya sebagai ganti kaedah konvensional.
“Ini akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan, dan amalan baik global dapat diterapkan oleh sektor perlombongan lain,” tambahnya.