NARATIF Melayu Islam dapat dianggap merupakan wacana politik yang perlu diberi pencerahan dan perspektif yang menyeluruh bagi memastikan tidak ada kekeliruan dan manipulasi daripada pihak yang sering menggunakan naratif itu untuk kepentingan politik yang sempit.
Yang lebih membahayakan apabila wujud penggunaan sentimen itu untuk mempengaruhi minda masyarakat khususnya kalangan anak muda yang tidak mempunyai asas pengetahuan politik yang mendalam dan kebanyakan golongan warga emas yang mempunyai literasi politik yang kabur mengenai konsep tersebut.
Manipulasi dan kekeliruan itu menyebabkan negeri-negeri di pantai timur dan utara terperangkap dengan dakyah politik sempit hingga menyebabkan mereka memilih menyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Dalam ceramah kempen politik itu, ada yang menggunakan sentimen Islam kononnya apabila tidak mengundi parti berasaskan Islam, maka akan masuk neraka. Terdapat juga sentimen perkauman dimainkan kononnya orang Melayu akan tertindas dari segi agama dan hak sekiranya bukan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah negara.
Sentimen ini berleluasa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan banyak dimainkan di media sosial khususnya dalam medium TikTok. Ramai anak muda terpengaruh dengan sentimen seumpama ini.
Demografi negara
Sudah pasti sentimen ini memberi impak besar kerana majoriti penduduk di negara ini beragama Islam yang mewakili 63.5 peratus menganut agama Islam, 18.7 peratus berkepercayaan Buddha, 9.1 peratus beragama Kristian, 6.1 peratus menganut kepercayaan Hinddu, manakala 2.7 peratus agama lain atau tanpa agama (Statistik 2020).
Sudah pasti angka melebihi 63 peratus tersebut menunjukkan agama Islam sangat dominan terutama di Semenanjung Malaysia, lebih-lebih lagi di negeri mengkhusus seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang purata penduduknya lebih 85 peratus beragama Islam.
Di kawasan majoriti Melayu-Islam, khususnya kawasan utara dan pantai timur aspek naratif Melayu dan Islam sangat mempengaruhi psikik dan minda masyarakat di sana. Sekiranya tidak dibendung pengaruh sedemikian, maka ia boleh merebak ke negeri lain seperti Perak, Pahang dan negeri lain.
Masyarakat Melayu/Bumiputera di negara ini pula terdiri daripada 69.6 peratus golongan Bumiputera, 23 peratus Cina, 6.7 peratus India dan 0.7 lain-lain daripada 32.78 juta penduduk negara pada 2021. Berdasarkan fakta ini, di negara ini politik berasaskan etnik dan agama masih lagi menjadi penentu dalam landskap politik negara.
Hal ini berlaku khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu dan Bumiputera di kawasan luar bandar dan separa bandar termasuk juga di 54 kawasan Parlimen dan 92 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di kawasan Felda, mewakili kawasan Melayu majoriti kini terpengaruh dengan dakyah yang kurang tepat itu.
Apa-apa sentimen mengenai Melayu dan Islam di kawasan tersebut sangat mempengaruhi keputusan pilihan raya umum sebagaimana dapat dilihat dalam kawasan berkenaan.
Perlembagaan negara
Dalam perlembagaan Malaysia, agama Islam diberikan status sebagai ‘agama Persekutuan’ sebagai simbol kepentingan agama tersebut, agama yang dianuti majoriti rakyat Malaysia dan memberikan impak terhadap beberapa perkara dasar di negara ini.
Aspek ini termasuklah kewujudan institusi Raja Berperlembagaan, peranan Yang di-Pertuan Agong yang memainkan peranan penting sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Negara. Yang di-Pertuan Agong sendiri ialah Melayu dan Islam. Baginda diberi kuasa untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera negeri Sabah dan Sarawak.
Baginda juga menjaga kepentingan kepentingan sah kaum lain. Baginda turut berperanan sebagai ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. Di sini, elemen Melayu Islam jelas terpancar dalam Perlembagaan Negara dan peranan Yang di-Pertuan Agong.
Meskipun dalam Perlembagaan Negara tidak ada mensyaratkan Perdana Menteri mestilah Melayu dan beragama Islam, namun secara konvensinya dalam sejarah negara kesemuanya ialah beragama Islam. Perdana Menteri merupakan lantikan daripada Yang di-Pertuan Agong yang diyakini baginda mempunyai majoriti besar yang layak untuk memerintah negara. Situasi ini mengukuhkan kepentingan Melayu Islam dalam proses pembentukan negara bangsa.
Naratif Melayu Islam
Salah satu punca naratif Melayu Islam mendapat tempat terutama di Semenanjung Malaysia ialah kerana politik di Semenanjung Malaysia masih lagi berasaskan etnik dan agama. Lebih-lebih lagi etnik Melayu merupakan majoriti dan parti berpengaruh masih lagi didominasi parti berasaskan Melayu-Islam. Misalnya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) mempunyai 3.3 juta keahlian, manakala PAS mempunyai 800,000 keahlian dan Parti Amanah Negara (AMANAH) mempunyai keahlian lebih 200,000.
Bagi parti multi etnik seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai keahlian lebih 1.2 juta di seluruh negara, begitu juga Parti Tindakan Demokratik (DAP) mempunyai 242,276 ahli di seluruh negara. Berdasarkan situasi itu, ternyata parti berasaskan etnik dan agama masih lagi mendominasi landskap politik negara ini.
Manipulasi dan propaganda
Ketika kempen PRU-15, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kumpulan Yahudi dan Kristian di luar negara amat berharap supaya pembangkang berjaya menguasai Malaysia. Beliau mendakwa pihak pembangkang menaja kumpulan Yahudi dan Kristian, maka akan berlaku proses Kristianasasi. “Itu adalah strategi jangka waktu panjang. Mungkin kita tidak lihat ini pada waktu ini tetapi mungkin tidak berapa lama lagi kalau kita tidak berhati-hati dan berjaga-jaga”. Muhyiddin membuat dakwaan itu ketika berucap pada majlis ceramah mega PN Best di Parit Jawa, Johor.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria pula mendakwa Anwar Ibrahim apabila menang akan mengetuai PH membawa agenda Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) ke negara ini dan malah mahu menghalalkan perkahwinan sejenis. Selain itu, beliau juga menuduh DAP akan membawa agenda komunis. Kesemua ini menunjukkan seolah-olah landskap Islam di negara ini akan tergugat sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri.
Selain Hadi Awang, Presiden PAS, Mahathir Mohamad juga menuduh Anwar sebagai liberal dan orang Melayu kononnya tidak boleh menerima Anwar kerana falsafah dan ideologi politik Anwar liberal (Malaysiakini, 12 Mac, 2020).
Kesemua ini menjadi titik tolak kepada Anwar untuk membuktikan beliau dan parti politik sekutu yang bersamanya bukan kelompok liberal, anti-Islam, pro komunis, pembawa agenda Yahudi dan freemason dan sebagainya yang selama ini dakyah ini boleh menyebabkan masyarakat Bumiputera Melayu Islam takut untuk menyokong Anwar dan Kerajaan Perpaduan.
Tugas ini besar dan berat kerana situasi ini amat besar dan menimbulkan keresahan daripada masyarakat dan akibat dipermainkan oleh pemimpin politik tertentu tanpa mengira wacana, perbahasan serta serangan ketika kempen PRU-15 dan ini perlu ditangani, dikemukakan wacana tandingan bagi tujuan pencerahan.
Yang penting Kerajaan Perpaduan hasil titah dan kearifan Yang di-Pertuan Agong ini perlulah didukung oleh semua rakyat Malaysia dan perlu menolak politik yang masih memainkan dakyah isu etnik dan agama secara semborono dan tidak bertanggungjawab!
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)