LAWAS: Perusahaan manik tempatan di Lawas akan dibantu oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Malaysia untuk menembusi pasaran global.
Menurut Menteri KPLB Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad, pihaknya akan membantu melalui agensi berkaitan di bawah KPLB dalam aspek meningkatkan kemahiran, keperluan kilang dan pemasaran.
Beliau yang melakukan lawatan kerja ke pusat pembuatan manik di Long Tuma Lawas Damit semalam amat berpuas hati dengan mutu kerja tangan yang dihasilkan pusat ini.
Malahan beliau juga dimaklumkan pasaran manik Long Tuma yang menggunakan produk tanah liat tempatan telah mendapat sambutan daripada pembeli di semenanjung hingga ke negara Korea Selatan.
Sehubungan itu beliau meluluskan peruntukan RM200,000 untuk menambah ruang pusat perusahaan manik yang diusahakan Puan Litad Mulok.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan, Timbalan Menteri KPLB Dato Henry Sum Agong, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan pengarah-pengarah agensi dibawah KPLB.
“Selama ini kita menggunakan tasbih yang diimport daripada negara China dan kini kita mahu agar pengusaha pusat manik Lawas mengeluarkan tasbih produk Lawas ke pasaran negara.
“Melalui hasil kerja yang halus dan bermutu ini, kita yakin perusahaan manik ini mampu menembusi pasaran global,” tambahnya.
Selain itu, salah seorang pengusaha seni kraft tanah liat daripada pusat manik ini juga akan dibimbing oleh KPLB agar mampu berada setaraf dengan pengiat seni kraft tanah liat dunia.
Dr. Abdul Latif turut menjelaskan pihaknya akan terus membantu pengusaha berbagai produk di luar bandar untuk berjaya dalam bidang usahawan desa.
Ini penting kerana bakat dan kemahiran yang ada harus digilap untuk mampu meningkatkan taraf ekonomi keluarga berkenaan di kawasan luar bandar.
Oleh ADENG EDRUS