Gubahan manik merupakan salah satu daripada seni kraftangan yang amat popular dan menjadi satu seni tradisi dalam kalangan masyarakat etnik di Sarawak.
Manik menjadi identiti yang tersendiri kepada masyarakat pelbagai kaum dan diguna dalam kehidupan seharian.
Aren Lah berasal dari Kampung Long Kesseh Ulu Baram kini menetap di Taman Golden Hill Marudi merupakan usahawan tempatan di daerah Marudi menjalankan perniagaan berasaskan manik kraftangan.
Antara jenis manik yang digunakannya ialah manik jenis kristal, permata dan batu yang mempunyai pelbagai bentuk dan warna.
Aren membuat tempahan mengikut kreativiti sendiri atau berdasarkan permintaan corak atau reka bentuk daripada pelanggan.
Pengusaha yang telah lama berjinak dalam industri kraftangan manik banyak menerima tempahan pelanggan untuk dijadikan koleksi atau untuk cenderamata kepada orang kenamaan, cenderamata untuk perkahwinan, hari jadi dan sebagainya.
Menurut Aren yang berusia dalam lingkungan 50-an, antara produk diusahakan berasaskan manik ialah rantai manik berbentuk rantai moden dan tradsional, gelang tangan, ,biji buah kabor, gelang kaki, subang, cicin manik dan sebagainya.
Kata Aren produk yang diperbuat daripada bahan manik dibuat dengan mudah dan sesiapa sahaja boleh belajar.
“ Sekiranya kita mempunyai sifat seperti ketabahan, perhatian dan kesabaran, maka kita mendapat kejayaan yang sangat mudah dan sederhana,” katanya.
Aren yang pernah menjuarai dalam pertandingan kraftangan rantai manik moden sekitar tahun 2017 dan 2019 berkata hati akan terpikat melihat jalinan manik yang selalunya menjadi perhiasan yang disayangi kerana ia dekat dengan pemiliknya dan sering mempunyai ciri-ciri istemewa.
Katanya beliau meletakkan harga berpatutan dan mampu milik dan sesuai untuk semua golongan.
“Kerana rantai manik moden ini cukup tahan lama dan jenis rantai ini juga cukup laris dan banyak mendapat tempahan pelanggan,”katanya.
Tegasnya walaupun perhiasan rantai manik berbentuk kristal ini sering datang dalam pelbagai warna, kita tidak pernah rasa canggung memakainya dengan sebarang pakaian malah ia tidak dilihat sekadar perhiasan tetapi kepentingannya dalam budaya dan kehidupan seharian.
Oleh Jiku Juguong