Mangsa tawaran kerja sambilan dalam talian rugi RM78,169

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto olahan AI

LUNDU: Seorang mangsa mengalami kerugian RM78,169 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan komisen tinggi melalui Facebook, WhatsApp dan Telegram.

Ketua Polis Daerah Lundu, Superintenden Sudirman Kram berkata, kejadian berlaku sepanjang Julai 2026 dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, mangsa menemui iklan video di Facebook yang menawarkan peluang kerja sambilan dalam talian dengan komisen lumayan sebelum menghubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai “Atikah Zakirah” melalui WhatsApp.

“Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram dan diberikan tugasan ‘Task Job’ untuk menjual produk pakaian, kasut dan beg.

“Mangsa diarahkan menekan butang seperti ‘Start’, ‘Terima Pesanan’ dan ‘Mengesahkan’, mengambil tangkap layar produk serta memuat naiknya ke dalam kumpulan Telegram bagi mendapatkan komisen,” katanya.

Sudirman berkata, pada peringkat awal mangsa menerima komisen kecil bagi meyakinkannya sebelum ditawarkan tugasan lebih besar dengan komisen lebih tinggi.

SUDIRMAN Kram menggesa orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran kerja sambilan

Mangsa kemudian diarahkan membuat bayaran ke beberapa akaun bank atas nama individu berbeza bagi meneruskan tugasan dan mendapatkan komisen yang dijanjikan.

“Mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM35,000 serta menukar akaun kepada Bank Rakyat.

“Selepas membuat banyak bayaran dan gagal menerima pulangan seperti yang dijanjikan, mangsa menyedari dirinya telah ditipu,” katanya.

Sudirman menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan komisen terlalu tinggi.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menekan pautan atau iklan mencurigakan, berkongsi maklumat peribadi atau OTP, serta membuat bayaran kepada individu yang tidak dikenali.

“Semak latar belakang syarikat atau individu yang menawarkan pekerjaan dan laporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.

Mangsa penipuan atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 atau balai polis berhampiran.