
SIMANGGANG: Prihatin terhadap nasib mangsa kebakaran yang kehilangan tempat tinggal dalam insiden di Kampung Tengah Simanggang malam tadi, dua pertubuhan tampil melancarkan gerakan bantuan kecemasan bagi membantu meringankan beban semua mangsa.
Pemuda Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman bersama Pemuda Persatuan Soon Heng Simanggang berganding bahu melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dengan menghantar pelbagai keperluan asas ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Lemanak, hari ini.
Antara barangan yang berjaya dikumpul termasuk cadar, bantal, makanan kering, beras, susu bayi dan lampin pakai buang yang kesemuanya dihantar segera bagi memenuhi keperluan mendesak 23 mangsa daripada lima keluarga yang terjejas.
Inisiatif bantuan bencana secara bersama ini bukan sahaja meringankan beban mangsa, malah menyerlahkan semangat kerjasama antara pertubuhan dan keprihatinan terhadap masyarakat yang memerlukan.
Majlis penyerahan bantuan turut dihadiri Setiausaha Persatuan Soon Heng Simanggang, Goh Kaw Sze, Setiausaha Che Chuan Khor, Tay Cho Seng, Ketua Pemuda Che Chuan Khor, Ngu Sze Lee serta Tay Chung Gek, Ketua Kebajikan Persatuan.
Turut serta ialah ahli jawatankuasa dari kedua-dua persatuan, termasuk pemuda dan wanita.
Penyerahan bantuan turut disaksikan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Sri Aman, Maxson Maoh, manakala agihan secara langsung kepada keluarga mangsa dikendalikan oleh kumpulan sukarelawan SATRIA, yang bertanggungjawab memastikan bantuan sampai terus kepada setiap penerima yang memerlukan.
Oleh Adi Safarman