
SARATOK: Seramai 16 keluarga mangsa kebakaran Rumah Panjang Jantum di Nanga Belangun, Ulu Krian menerima perhatian segera dengan pelbagai bantuan disalurkan sementara mereka ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Sri Krian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, kerajaan negeri melalui peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM70,000 telah diluluskan untuk menyediakan tapak rumah baharu.
Selain itu, setiap pintu rumah panjang yang musnah akan menerima RM5,000 daripada Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) Fasa Dua, serta RM10,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi pembelian bahan binaan.
“Dengan pelbagai penyaluran bantuan ini, penduduk dapat segera memulakan pembinaan rumah baharu sebaik sahaja kerja-kerja penyediaan tapak selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri sesi libat urus bersama agensi berkaitan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), JKM, PDRM, RELA, Jabatan Kesihatan Daerah Saratok dan Pejabat Residen Bahagian Betong.
Dalam perkembangan sama, wakil Residen Bahagian Betong, Florence Bulan turut memaklumkan, permohonan Bantuan Ehsan juga telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak bagi membiayai pembinaan rumah baharu melibatkan semua 16 pintu terbabit.
Friday berharap kelulusan dapat diberikan segera agar mangsa boleh membina semula kehidupan mereka dengan lebih teratur.
Sesi libat urus berkenaan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid dan turut dihadiri ketua-ketua jabatan berkaitan serta Tuai Rumah Jantum bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Oleh Adi Safarman