SIMANGGANG: Persatuan Anak Perantau Simanggang tampil bagi menyerahkan sumbangan kepada mangsa tragedi kebakaran di Kampung Hilir Sri Aman dekat sini semalam.
Persatuan yang berpangkalan di Kuching itu telah melancarkan tabung derma kilat bagi tujuan membantu mangsa kebakaran bermula sejak 16 Januari sehingga 23 Januari lalu.
Hasil daripada penubuhan tabung tersebut Persatuan Anak Perantau Simanggang telah berjaya memperolehi sumbangan daripada orang ramai sebanyak RM6,580.
Pengerusi Persatuan Anak Perantau Simanggang, Kameri Affandi berkata, pihaknya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang menggerakkan tabung berkenaan sehingga berjaya memperoleh sumbangan kewangan untuk disalurkan kepada mangsa terlibat.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah bermurah hati untuk menyumbang bagi membantu meringankan bebanan mangsa yang telah terlibat dalam kebakaran pada 16 Januari lalu,” katanya dekat sini semalam.
Jelasnya, sumbangan telah diserahkan kepada lapan keluarga yang dilanda musibah kebakaran di Surau Kebahagiaan Kampung Hilir Sri Aman.
“Persatuan Anak Perantau Simanggang tidak ketinggalan menunaikan tanggungjawab sosial korporat dengan menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran hasil derma ahli-ahli persatuan yang terdiri daripada anak Simanggang yang berada di perantauan seperti Kuching, Sibu, Miri, Bintulu termasuk dari Semenanjung Malaysia.
“Dengan sumbangan itu, sedikit-sebanyak dapat membantu meringankan beban mangsa-mangsa kebakaran di atas musibah yang menimpa.
“Kita berharap mangsa kebakaran terbabit bersabar dengan musibah yang menimpa mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Anak Perantau Simanggang, Awang Putra Yusri Awang Redzuan berkata tabung derma kilat yang dinamakan Tabung Kasih Kebakaran Kampung Hilir Simanggang telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM6,580 dalam tempoh seminggu.
“Besarlah harapan kita agar pihak bertanggungjawab seperti wakil rakyat dan agensi kerajaan dapat menyelesaikan masalah penempatan mangsa menjelang Ramadan akan datang,” ujarnya.
Dalam majlis sama, Pasukan Bola Sepak Datus United turut menyumbang derma peribadi kepada salah seorang pemainnya yang turut menjadi mangsa dalam musibah tersebut iaitu Suffian Bredad.
Sumbangan daripada pengurusan dan pemain Datus United tersebut telah disampaikan oleh Wan Muhammad Zaki selaku wakil.
Turut hadir Ketua Kampung Abang Noren Abang Naruddin, Ketua Kampung Jimi Peri, Kaunselor Bakhtiar Mathan dan Penolong Pengurus Datus United, Iswandy Kassim.
Terdahulu dalam kejadian 12.15 tengahari pada 16 Januari lalu, lapan buah rumah terlibat dalam satu kebakaran di Kampung Hilir, Sri Aman dengan dua daripadanya musnah dijilat api, manakala dua lagi terbakar kira-kira 80 peratus.
Bagaimanapun dalam kejadian tersebut ianya tidak melibatkan kemalangan jiwa dan kecederaan mangsa.
Oleh ADI SAFARMAN