
BINTULU: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak berkurang kepada 322 orang daripada 94 keluarga setakat 8.00 pagi ini berbanding 415 orang daripada 123 keluarga pada petang semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan PPS Dewan Suarah Bintulu menempatkan 121 mangsa daripada 32 keluarga, PPS Balai Raya Sebauh (137 mangsa daripada 44 keluarga) dan PPS Dewan Sri Kemena SMK Sebauh (64 mangsa daripada 18 keluarga).
“Terdapat trend menurun dari segi jumlah mangsa di PPS,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Banjir di Sarawak bermula sejak 31 Disember lepas apabila beberapa kawasan di sekitar bandar raya Kuching dinaiki air susulan hujan lebat berterusan.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal Public Infobanjir melaporkan pada 7.30 pagi ini, paras air di dua stesen, iaitu Long Teru (Miri) dan Nanga Lemai B masih melebihi tahap bahaya, manakala hanya stesen Stapang B (Sibu) sudah melebihi paras amaran.
Paras air di sembilan sungai lain berada pada tahap waspada tetapi menunjukkan trend menurun. – Bernama