Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merasmikan Majlis Pelancaran YAST ART di Kuching, semalam.
KUCHING: Platform seni ‘phygital’ (fizikal + digital) YAST ART yang pertama di dunia bakal membawa manfaat kepada pembangunan industri seni dan budaya di Sarawak termasuk golongan kurang bernasib baik.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak telah dikurniakan warisan budaya yang kaya dan mempunyai komuniti kreatif yang boleh dipemarkan kepada dunia karya seni serta mencipta pekerjaan yang lebih baik dalam industri berkenaan.
“Walaupun ramai yang telah dilanda pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, adalah tepat pada masanya kita mempunyai platform memasukkan golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat kita supaya mereka mempunyai lebih banyak pilihan yang lebih baik dalam mempertahankan kehidupan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran YAST ART di Kuching, semalam.
Malah beliau berkata, adalah penting untuk maju bersama-sama golongan kurang bernasib baik secara keseluruhan dalam menuju ke arah masa depan yang lebih cerah.
“YAST ART ialah tempat pembangunan inklusif dengan menyediakan platform digital kepada artis yang mempunyai potensi aliran pendapatan untuk dijana.
“Beginilah cara YAST ART boleh membantu korporat dan penaja dalam memadankan keperluan CSR mereka dengan bakat atau karya seni yang berkaitan, dalam menyokong matlamat pembangunan mampan,” ujarnya.
Jelasnya, dengan mengikuti perjalanan dan kemajuan YAST ART, usahawan dengan model dan nilai yang betul boleh menggubal modul perniagaan global ini.
“Seperti yang dapat dilihat, kita mempunyai usahawan dan artis muda yang sudah sedia ada, dan inilah cara kita boleh membangunkan kelestarian untuk belia di Sarawak,” katanya.
Tambahnya, YAST ART ialah contoh yang ketara tentang caramembawa nilai pendidikan, merentasi sempadan kepada dunia.
“Saya faham bahawa platform YAST ART adalah idea ‘Homegrown Sarawak’ yang dicetuskan oleh Madam Esther Law dengan niat baik membawa Sarawak ke dunia melalui pendigitalan sektor seni dan budaya.
“Sebagai anak Sarawak, adalah wajar untuk memulakan usaha ini di tanah air kita,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, tambah beliau lagi tindakan ini bermula dari sekarang dan Sarawak bersedia untuk mempamerkan kepada dunia warisan budaya yang kaya dalam alam digital.
Oleh NUR AIN OTSMAN