
PAKAN: Wanita di kawasan Parlimen Julau digalakkan memanfaatkan peluang perniagaan dalam bidang kraftangan, khususnya produk tradisional Dayak yang semakin mendapat tempat di pasaran antarabangsa.
Ahli Parlimen Julau merangkap Pengerusi Majlis Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, produk kraftangan tempatan seperti beg anyaman semakin mendapat perhatian pelancong asing dan berpotensi memberi pulangan tinggi kepada mereka.
“Jika hasil kraftangan itu dijual di pasaran luar, ia boleh menambah pendapatan untuk diri dan keluarga.
“Saya sebagai wakil rakyat Julau akan membantu mereka dalam pasaran perniagaan dan berharap wanita Julau dapat mengikut jejak langkah wanita dari negara lain yang berjaya dalam perniagaan kraftangan,” katanya ketika berucap di program santai bersama rakyat di Rumah Soon Ugap, Jalai Bayong, baru-baru ini.
Malah, beliau komited membantu wanita di Julau untuk memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa dan menggalakkan mereka mengikuti jejak kejayaan wanita dari tempat lain yang berjaya dalam bidang kraftangan.
Selain itu, Larry turut berharap penduduk kampung supaya menubuhkan Biro Keselamatan dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) demi keselamatan kampung.
“Pada pendapat saya, kedua-dua inisiatif ini amat penting untuk kampung dari segi menjaga keselamatan diri dan kampung.
“Saya juga menyokong ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menubuhkan PBS.
Dalam usaha meningkatkan kemudahan komunikasi di kawasan luar bandar, beliau turut menerangkan mengenai penggunaan Starlink sebagai penyelesaian bagi masalah ketersambungan.
“Saya boleh membantu rakyat membeli peralatan tersebut tetapi bayaran bulanan mereka bayar sendiri melalui JKKK,” katanya.
Pada program sama, Larry turut menyerahkan geran Projek Pembangunan Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM37,450 kepada beberapa JKKK dan Biro Wanita di kawasan itu sebagai sokongan kepada pembangunan komuniti.
Penerima MRP tersebut adalah JKKK Rumah Soon Ugap, JKKK Rumah Antam, JKKK Rumah Engol, JKKK Rumah Jen, JKKK Rumah Lat, JKKK Rumah Landan, JKKK Rumah Ngaya, JKKK Rumah Empaling / Latoh, Biro Wanita Rumah Soon dan Biro Wanita Rumah Tayan.
Oleh Earl Anek