KOTA SAMARAHAN: Lembaga Koko Malaysia (LKM) menggalakkan ahli Koperasi Kluster Koko Sarawak menyertai kursus bimbingan terutama bagi penghasilan coklat blok memandangkan industri koko Sarawak berpotensi berkembang lebih jauh.
Pengarah (Teknologi Huluan Koko) LKM, Haya Ramba, berkata, galakan itu adalah sejajar dengan pembinaan Kompleks Kluster Koko Sarawak di LKM Kota Samarahan di sini yang akan siap pada Oktober tahun ini.
“Pembangunan usahawan coklat di Sarawak juga cukup memberangsangkan dan program ini akan ditingkatkan dengan pembelian lebih banyak jentera untuk melatih lebih ramai usahawan produk koko di Sarawak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sebagai rekod, kompleks bernilai kira-kira RM4.66 juta itu dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya Disember tahun ini.
Apabila beroperasi kelak ia akan dijadikan pusat pemprosesan benih koko, pemprosesan dan penjualan produk coklat serta ruang pejabat Koperasi Kluster Koko Sarawak.
Dalam perkembangan yang sama, Haya yang juga Pengurus Pusat Penyelidikan LKM Kota Samarahan berkata sebanyak 14 usahawan telah menjalani bimbingan LKM sejak 2013.
Beliau berkata program pembangunan rantaian kluster koko LKM juga akan menjadi pengubah bagi aktiviti huluan dengan ia dilaksanakan berdasarkan model ‘dari ladang ke meja makan’ atau ’daripada biji menjadi coklat’ untuk memacu pula pembangunan aktiviti hiliran, katanya.
Haya berkata pengeluaran biji koko juga akan dapat ditingkatkan menerusi program ini sekali gus menambah pendapatan penanam koko.
Beliau berkata pengeluaran biji koko Sarawak menunjukkan aliran meningkat tahun lepas susulan pertambahan keluasan penanaman koko di negeri ini.
Prestas itu didorong terutamanya oleh peningkatan hektar koko di bahagian Kuching dan Samarahan, katanya.
Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, kawasan penanaman koko di Sarawak adalah seluas 6,800 hektar.
Walaupun pengeluaran biji koko Sarawak merekodkan aliran meningkat, namun perangkaan menunjukkan negeri ini hanya mengeluarkan 151 tan biji koko tahun lepas, katanya,
Beliau berkata ini berikutan ketiadaan kebun koko berskala besar di negeri ini dan pengeluaran hanya bergantung kepada kebun-kebun kecil. – Bernama