SARIKEI: Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datu Len Talif Salleh berharap lima syarikat pemula yang terpilih untuk program TEGAS Startup Lab (TSL) akan memanfaatkan bimbingan daripada pakar industri dan pengasas syarikat pemula (startup) terkenal di Malaysia serta akses kepada rangkaian pelabur dan rakan ekosistem TEGAS.
Katanya, selain itu, manfaat lain seperti biasiswa untuk kursus pensijilan professional pemasaran digital dan peluang untuk menyertai program “scale-up” yang dianjurkan oleh TEGAS Digital Village turut ditawarkan.
“Permohonan TSL yang telah dibuka buat kali ke empat secara maya anjuran TEGAS Digital Innovation Hub ini bertujuan untuk memperkasakan syarikat pemula (startup) dan usahawan teknologi.
“Ia merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam melahirkan usahawan Sarawak berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, pagi semalam.
Len Talif yang juga merupakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar berkata, program yang berlangsung selama lima bulan ini dijangka berakhir Februari 2022 dengan kerjasama WatchTower & Friends.
“Sehubungan itu, TSL sejak diperkenalkan pada tahun 2018 telah membantu 15 syarikat pemula dari seluruh Sarawak, berfungsi membantu syarikat pemula dan usahawan tempatan dalam mencapai produk-produk sesuai pasaran dan prestasi yang cemerlang.
“Semoga program berkenaan akan memberi impak terbaik serta memperkukuhkan kerjasama dengan rakan-rakan ekosistem TEGAS dalam mengembangkan syarikat pemula tempatan dan membina ekosistem digital inklusif Sarawak,” ujarnya.
Oleh EARL ANEK