KUALA LUMPUR: ASEAN dan rakan pakatan Campur Tiga (China, Jepun dan Korea Selatan) dijangka akan pulih secara sederhana walaupun rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) diunjurkan mencatatkan penurunan pertumbuhan 2.7 peratus tahun ini kerana kejatuhan ekonomi akibat pandemik Covid-19, kata Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Rebecca Sta Maria.
Ini berdasarkan kepada sambungtara ekonomi rantau Asia yang dengan China, katanya.
“Seperti yang anda ketahui, di Asia rantaian bekalan adalah bersepadu dan jika anda melihat pembuatan meningkat di China, itu kerana semua rantaian bekalan kami dihubungkan ke China, terutama ASEAN.
“Oleh itu, anda akan melihat peningkatan di sana,” katanya ketika taklimat media Forum Ekonomi Dunia-Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Pasifik Barat, semalam.
Sesi satu jam itu menghimpunkan pakar-pakar utama daripada sektor kesihatan awam, kerajaan, perniagaan dan media untuk berkongsi pendapat mereka mengenai krisis Covid-19.
Menurut Sta Maria, 21 negara anggota APEC mengakui akan berlaku pengurangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar dan rantau ini dijangka akan kehilangan pekerjaan serta aktiviti ekonomi yang lebih perlahan.
Dalam taklimat dasar Unit Sokongan Dasar APEC bertajuk “APEC in the Epicenter of COVID-19”, Sta Maria berkata pertumbuhan rantau ini dijangka turun sebanyak 2.7 peratus tahun ini, yang diterjemahkan sebagai kerugian output yang dianggarkan sebanyak AS$ 2.1 trilion berbanding dengan pertumbuhan 3.6 peratus pada 2019.
Beliau berkata ia adalah penurunan yang paling ketara sejak kadar pertumbuhan hampir sifar dicatatkan pada 2009 semasa krisis kewangan global. Ia ditambah dengan tambahan sebanyak 23 juta orang yang menjadi penganggur pada 2020.
Bagaimanapun, negara anggota berada di barisan depan untuk menghadapi cabaran itu kerana mereka antara yang pertama dan paling teruk terkena wabak tersebut, katanya.
Sementara itu, beliau juga menzahirkan keyakinan bahawa integrasi ASEAN dan rakan pakatan Campur Tiga melalui Kerjasama Komprehensif Ekonomi Serantau akan memberikan optimisme di rantau ini. – Bernama