JASIN: Kesemua calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu memanfaatkan ruang yang diberi kerajaan dengan menggunakan platform Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk memperkenalkan diri kepada masyarakat, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata langkah RTM menyediakan ruang itu merupakan satu perkembangan baik dalam amalan sistem demokrasi negara.
“Terima kasih Tan Sri Annuar Musa selaku Menterinya (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) yang membuka lantai demokrasi melalui penyertaan mereka (calon) menerusi ruang-ruang yang disediakan.
“Kapsul dan biodata tentu sekali disediakan RTM. Jadi saya nak galakkan semua calon dan calon yang menawarkan diri sebagai wakil rakyat dalam PRN Melaka agar menggunakan kesempatan ditawarkan RTM supaya mereka dapat lebih dikenali oleh rakyat melalui siaran-siaran RTM,” katanya, di sini semalam.
Pada 13 November, kerajaan membenarkan RTM untuk menyiarkan poster dan biodata calon yang bertanding pada PRN Melaka bermula 14 November.
PRN Melaka menyaksikan seramai 112 calon layak bertanding melibatkan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), lima penjuru (lima), empat penjuru (sembilan) dan tiga penjuru (11) dengan 28 calon masing-masing daripada Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November ini dan undi awal pada hari ini berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri.
— Bernama