
KUCHING: Langkah kerajaan meluluskan penggunaan kaedah penyerahan e-Invois secara konsolidasi bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sarawak dan Sabah disambut baik kerana berpotensi mengurangkan beban pematuhan.
Namun demikian, beberapa cabaran utama perlu ditangani bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan.
Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Cawangan Kuching, Dato Sim Kiang Chiok (gambar) berkata pendekatan ini dapat membantu PMKS mengurus penyerahan e-Invois dengan lebih teratur tanpa perlu menghantar invois bagi setiap transaksi secara individu.
“Langkah ini akan mengurangkan beban kerja, namun para peniaga masih perlu mempelajari kaedah penyerahan e-Invois bulanan dengan betul,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pematuhan terhadap sistem ini tetap melibatkan kos tambahan serta keperluan pentadbiran baharu yang berpotensi membebankan perniagaan kecil.
Antara kebimbangan utama yang dibangkitkan ialah isu capaian internet di kawasan luar bandar, yang menurut beliau boleh menjejaskan kemampuan perniagaan untuk mematuhi keperluan sistem tersebut.
“Jika capaian internet tidak stabil, peniaga mungkin tidak dapat menghantar e-Invois mengikut masa yang ditetapkan,” ujarnya sambil menekankan bahawa perkara ini boleh memberi kesan negatif terhadap perniagaan di kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah.
Beliau turut mempersoalkan had pengecualian tahunan sebanyak RM150,000 yang disifatkan terlalu rendah, memandangkan jumlah itu secara tidak langsung merangkumi sebahagian besar perniagaan kecil termasuk penjaja dan usahawan mikro. Had tersebut, yang bersamaan kira-kira RM400 sehari, menurut beliau, boleh dicapai oleh ramai penjaja walaupun golongan ini masih belum bersedia dari segi pengetahuan dan kemudahan untuk mematuhi sistem digital seperti e-Invois.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan had pengecualian kepada RM500,000 atau RM1 juta, memandangkan perniagaan dalam lingkungan tersebut lebih berkemampuan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan digitalisasi seperti e-Invois.
Dalam jangka masa panjang, beliau mengakui bahawa sistem e-Invois boleh menyumbang kepada peningkatan pematuhan cukai dan mempercepatkan transformasi digital negara. Namun demikian, beliau mengingatkan bahawa sistem ini mungkin tidak seefisien pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini.
“Pelaksanaan GST lebih mudah, lebih telus, dan tetap mencapai matlamat kutipan cukai,” tambahnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa pelaksanaan sistem e-Invois tanpa disertai pelan sokongan yang menyeluruh berpotensi melemahkan semangat keusahawanan, khususnya dalam kalangan peniaga kecil dan bakal usahawan.