BERGELAR usahawan tidak mudah meskipun dari luarannya mereka kelihatan hebat, namun tidak ramai yang tahu jatuh bangun seorang usahawan sebelum mereka berjaya.
Bagi seorang usahawan muda, Shoniafina Chendang yang berasal dari Serian dan kini menetap di Sarikei, untuk menguruskan sebuah perniagaan seseorang usahawan perlu bijak menangani situasi terutamanya ketika mengalami kejatuhan.
Mengimbau permulaan beliau pertama kali menceburi diri dalam bidang perniagaan beberapa tahun yang lalu, Shoniafina mengatakan bahawa produk pertama dijualnya ketika itu ialah kosmetik Thailand dan makanan produk Borneo Crispy Pork Skin.
Dedahnya, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi terutama tahun lalu apabila ramai pembekal tidak dapat menyediakan stok disebabkan permintaan tempahan yang tinggi hingga menyebabkan pembeli mula kerisauan dan melabelkan beliau sebagai ‘scammer’.
Pernah alami kerugian
Malah katanya, disebabkan penularan Covid-19 bermula Mac tahun lalu menyebabkan beliau pernah mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit kerana stok barangan ditempah tidak dapat dijual dan dihantar menggunakan kurier.
“Saya terpaksa membayar ganti rugi semua pembelian daripada pelanggan dan lebih memeritkan apabila pada masa yang sama saya sedang sarat mengandung sehingga pernah salah seorang pelanggan mendoakan saya meninggal apabila bersalin nanti.
“Syukur proses kelahiran anak berjalan lancar ketika itu dan kami berdua dalam keadaan sihat, malah anak yang dilahirkan aktif serta comel,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak baru-baru ini.
Promosi keunikkan corak Sarawak
Menurut graduan berkelulusan Diploma Kajian Perniagaan ini, setiap corak borneo yang dikeluarkan berkait rapat dengan corak ukiran terabai, tikar anyaman Iban serta ukiran-ukiran pua kumbu Iban termasuk tatu Iban.
Katanya, beliau mempunyai tukang jahit yang diupah khas manakala segala reka bentuk corak merupakan keluaran jenama beliau sendiri iaitu MS Sonia Legacy.
“Antara produk yang dikeluarkan ialah baju corak borneo, cadar getah dan berzip, baju croptop,singlet peplum, seluar palazo kain sarung, baju kelawar dan langsir dan setakat ini, produk saya hanya dipasarkan di pasaran domestik, belum lagi di peringkat pasaran luar,” katanya yang berusia 26 tahun terbabit.
Biarpun kini hanya memasarkan produk keluarannya menerusi platform digital semata-mata, namun jenama ini tetap berjaya cipta pengikutnya tersendiri di seluruh Sarawak.
“Bagi saya, untuk melakukan sesuatu perlu ada minat yang mendalam, tidak dinafikan saya juga pernah merasa ‘down’ tetapi tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk berhenti,” katanya yang turut berharap agar produknya mampu menembus pasaran antarabangsa pada masa akan datang.
Paparan cadar, pakaian dan langsir bermotifkan Borneo menerusi akaun media sosial setiap hari, menjadi medium ibu kepada seorang cahaya mata ini menangani impak peningkatan kos sara hidup sekali gus menarik minat pengguna untuk membeli produknya.
Menerusi kaedah berkenaan kata pemilik Facebook Shoniafina Liew dan ‘page’ MS Shonia Legacy ini, beliau mampu bertapak dan bertahan dalam suasana himpitan susulan penularan Covid-19.
“Saya menggunakan sepenuhnya aplikasi media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk mempromosikan produk kepada orang ramai malah saya turut menggunakan ‘Facebook advertise’ untuk menarik ramai pengguna melihat ‘page’ saya.
“Malah saya juga turut menggunakan siaran langsung menerusi laman Facebook baru-baru ini untuk memperkenalkan produk baharu iaitu cadar, baju kelawar borneo dan langsir bercorak borneo untuk dipromosikan kepada orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut menasihati golongan belia yang mahu menceburi bidang perniagaan supaya mulakan perniagaan mereka menggunakan modal yang kecil dan jangan pernah berputus asa.
“Bermulalah secara perlahan-lahan, berfikir positif kerana setiap langkah yang disusuli dengan niat pasti akan membuahkan hasil,” ujarnya.
Oleh SYAMIMI HUSNA