
Julaihi (tengah) bersama Ketua Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah (dua kiri) dan Timbalan Ketua Wanita II, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Katibas, Lidam Assan (kiri) dan Datuk Jefferson Jamit Unyat (kanan). Foto HERRIEY NAHA
PETRA JAYA: Mandat yang diberikan oleh ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bukan sekadar satu penghormatan, tetapi juga satu tanggungjawab besar dalam memastikan ia kekal sebagai parti tunjang politik Sarawak.
Naib Presiden PBB, Dato Sri Julaihi Narawi yang berjaya mempertahankan jawatan itu bagi penggal ketiga berkata, sebagai pemimpin berasal dari luar bandar, beliau berikrar memastikan pembangunan di kawasan pedalaman tidak terpinggir dan akan terus memperjuangkan infrastruktur, pendidikan, dan ekonomi masyarakat luar bandar.
Beliau menegaskan bahawa pemilihan semulanya sebagai Naib Presiden PBB mencerminkan keyakinan ahli terhadap kepimpinan yang berprinsipkan keterbukaan, kebersamaan, dan kesinambungan perjuangan parti.
“Saya amat menghargai kepercayaan yang terus diberikan oleh ahli parti. Ini membuktikan bahawa proses demokrasi dalam PBB bukan sekadar retorik, tetapi benar-benar diamalkan dengan telus dan inklusif,” katanya ketika ditemui media pada Perhimpunan Agung PBB ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
Julaihi turut menekankan komitmen untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat, terutama dalam membangunkan kawasan luar bandar, selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak dalam Pelan Strategik Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Dengan kepercayaan dan sokongan ahli parti, beliau yakin PBB akan terus menjadi wadah politik yang progresif dalam membawa pembangunan menyeluruh kepada rakyat Sarawak.
Oleh Amanda L.