Ruben Amorim dipecat sebagai pengurus Manchester United. Foto fail AFP
LONDON: Manchester United mengumumkan pemecatan pengurus mereka, Ruben Amorim, hanya 14 bulan selepas beliau dilantik ke jawatan itu, menurut kenyataan kelab pada Isnin.
Dalam satu kenyataan rasmi, United memaklumkan bahawa pengurus dari Portugal itu telah meninggalkan peranannya, dengan kepimpinan kelab
‘secara berat hati membuat keputusan bahawa inilah masa yang tepat untuk melakukan perubahan’
Kelab itu turut menyatakan: ‘Keputusan ini diambil bagi memberi pasukan peluang terbaik untuk mencapai kedudukan tertinggi yang mungkin dalam Liga Perdana Inggeris’.
Manchester United ketika ini berada di kedudukan keenam liga selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Leeds United pada Ahad.
Selepas perlawanan tersebut, Amorim yang jelas berang menegaskan bahawa beliau adalah pengurus Manchester United, bukan sekadar jurulatih, dalam satu sidang media yang mendapat perhatian ramai. Dalam sidang itu, beliau secara terbuka menggesa bahagian pencari bakat dan pengarah sukan kelab supaya ‘melakukan tugas mereka’.
Pengendali berusia 40 tahun itu sebelum ini turut memberi bayangan mengenai ketegangan di belakang tabir menjelang perlawanan tersebut, apabila beliau enggan memperincikan kenyataan terdahulunya berkaitan perancangan perpindahan pemain kelab.
Amorim dilantik sebagai pengurus Manchester United pada November 2024.
Beliau berjaya membawa pasukan ke final Liga Europa di Bilbao pada Mei lalu, namun tewas kepada Tottenham Hotspur.
Bagaimanapun, United menamatkan musim Liga Perdana Inggeris lalu di kedudukan ke-15, prestasi terburuk kelab dalam era moden. – AFP