OLE Gunnar Solskjaer memberi penghormatan kepada naluri penyudah Anthony Martial setelah hatriknya memberikan Manchester United mencatat kemenangan mudah 3-0 ke atas Sheffield United semalam.
Martial menyumbat dua kali dalam separuh pertama sekali gus melengkapkan hatrik senior pertamanya selepas rehat di Old Trafford.
Penyerang antarabangsa Perancis itu merupakan pemain United pertama menjaringkan hatrik dalam Liga Perdana sejak Alex Ferguson bersara sebagai pengurus mereka pada 2013.
Tindakan hero mencuri perhatian daripada rakan sepasukan United, Paul Pogba, yang membuat permulaan pertamanya sejak 30 September.
Anak-anak buah Solskjaer yang tidak tewas dalam 13 perlawanan terakhir mereka, kekal di tempat kelima, tetapi mereka kini hanya berada dua mata di belakang Chelsea di tempat keempat,yang akan menghadapi Manchester City hari ini.
Kemenangan pertama United sejak ‘lockdown’ Covid-19 adalah wajar dan Solskjaer mencadangkan peranan Martial di dalamnya adalah disebabkan kerja keras di padang latihan.
“Sangat gembira untuk Anthony. Jaringan ketiga adalah gol yang bagus tetapi bagi saya yang pertama dan yang kedua lebih baik,” katanya.
“Dia berada di dalam kotak penalti, siap untuk bertindak. Kami telah mengusahakannya lebih kerap masuk ke dalam kotak penalti dalam situasi itu dengan lebih kerap.
“Di depan gol dia menunjukkan ketenangan. Gol pertama sangat penting, cara dia berpusing dan meletakkan diri dalam posisi untuk menjaringkan gol hasil hantaran lintang.
“Saya sangat senang dengan itu. Dia dalam prestasi baik.”
“Saya fikir kami mengawal permainan. Paul dan Bruno menunjukkan kualiti dan sangat menarik bagi kami untuk bekerja dengan bakat seperti ini,” kata Solskjaer.
“Kadang-kadang bola sepak itu sangat bagus. Kami boleh dan seharusnya menjaringkan lebih banyak gol.” tegasnya lagi.- AFP