
KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini buat kali terakhir sebelum bersara wajib pada 29 September ini.
Beliau meluahkan penghargaan kepada seluruh anggota dan pegawai yang menjadi tulang belakang pasukan sepanjang perkhidmatannya.
“Sepanjang tempoh saya memegang jawatan ini, kita telah melalui pelbagai cabaran dan kejayaan bersama. Walaupun saya akan bersara, hati dan jiwa saya akan sentiasa bersama pasukan ini,” katanya.
Mancha menekankan cabaran terbesar pasukan ialah jenayah komersil dan narkotik yang semakin kompleks.
Sehingga Ogos 2025, Sarawak merekodkan peningkatan 57.67 peratus kes jenayah komersil dengan 2,622 kes melibatkan kerugian hampir RM89.9 juta.
Penipuan e-dagang, pelaburan palsu, pinjaman tidak wujud dan panggilan ‘scam’ dikenal pasti sebagai penyumbang utama.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak berjaya menumpaskan beberapa sindiket besar termasuk tiga pusat panggilan di Miri dan Sibu sindiket penipuan emas palsu dan penipuan kod QR.
Sehingga kini seramai 1,091 individu ditahan berhubung pelbagai kes tersebut.
Sebagai tanda sokongan, kerajaan Sarawak menyerahkan empat kenderaan pacuan empat roda kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi memperkukuh operasi di kawasan pedalaman dan sempadan.
Beliau turut menggariskan tiga hala tuju utama yang ditetapkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail iaitu transformasi kepolisan berasaskan teknologi dan kecerdasan buatan, pemerkasaan integriti serta kesejahteraan rakyat dan warga PDRM.
Mancha turut menyampaikan sijil kecemerlangan kepada pegawai dan anggota sambil menegaskan bahawa kejayaan pasukan itu adalah hasil kerja berpasukan yang meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap polis.
Oleh Adele Rissa