
Gruda menjaringkan gol kemenangan Brighton. Foto AFP
BRIGHTON: Brajan Gruda muncul wira Brighton apabila menjaringkan gol kemenangan minit ke-89 untuk menewaskan juara bertahan Manchester City 2-1 dalam aksi dramatik Liga Perdana Inggeris (EPL), hari ini.
City terlebih dahulu berada di hadapan menerusi Erling Haaland yang menyempurnakan jaringan cantik pada minit ke-34 yang juga gol ketiganya dalam tiga perlawanan musim ini.
Brighton begitupun bangkit di babak kedua apabila James Milner menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-67, selepas bola terkena tangan Matheus Nunes dalam kotak penalti.
Gol itu menjadikan Milner, pada usia 39 tahun 239 hari, sebagai penjaring penalti tertua dalam sejarah EPL.
Dengan semangat memuncak, Brighton terus memberi tekanan dan akhirnya berjaya meraih tiga mata penuh apabila Gruda berjaya melepasi perangkap ofsaid, menewaskan penjaga gol City, James Trafford untuk melengkapkan kebangkitan hebat pasukan tuan rumah.