Jeremy Doku memukau dalam kemenangan 3-0 Man City ke atas Liverpool. Foto AFP
MANCHESTER, (United Kingdom): Manchester City meraikan perlawanan ke-1,000 Pep Guardiola sebagai pengurus dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Liverpool untuk merapatkan jurang kepada empat mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Arsenal.
Erling Haaland bangkit daripada kegagalan menyempurnakan penalti awal untuk menanduk gol Liga Perdana ke-99nya sebelum percubaan berbalik arah Nico Gonzalez dan gol hebat daripada Jeremy Doku mengesahkan status City sebagai pencabar utama Arsenal untuk kejuaraan.
Liverpool kini tewas lima daripada enam perlawanan liga terakhir, menyebabkan juara bertahan itu jatuh ke tangga kelapan, lapan mata daripada carta teratas.
Rentak 10 kemenangan berturut-turut Arsenal berakhir dengan keputusan 2-2 di Sunderland pada Sabtu dan skuad Guardiola mengambil kesempatan sepenuhnya dalam pertarungan dua pasukan yang mendominasi Liga Perdana sepanjang dekad lalu.
“Terima kasih kepada para pemain dan staf kerana memberikan saya hadiah yang luar biasa ini,” kata Guardiola semasa meraikan perlawanan ke-1,000 dengan penuh bergaya.

“Saya beritahu pemain, ‘jangan lakukan ini kerana semalam Arsenal tak menang. Lakukan ini untuk percaya pada diri kita sendiri’.
“Kita menentang juara England. Tunjukkan bahawa kita mampu bersaing dengan mereka (Arsenal) musim ini dan saya rasa hari ini kita membuktikannya.”
Walaupun beberapa keputusan tidak memihak kepada skuad Arne Slot, aksi ini sekali lagi menunjukkan sejauh mana mereka telah merosot sejak menang 2-0 di Etihad pada Februari.
Liverpool menunjukkan tanda-tanda kebangkitan selepas menewaskan Aston Villa dan Real Madrid dalam tempoh lapan hari, namun tidak mampu menandingi kelancaran permainan City yang kembali menyala dan kini memenangi 11 daripada 14 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
“Kita perlu perbaiki banyak perkara dan itu jelas,” kata Slot.
“Fokus utama ialah mendapatkan keputusan. Perkara terakhir yang perlu kita fikirkan sekarang ialah perebutan gelaran.”

Doku memperdaya Bradley
Conor Bradley berjaya mengekang ancaman Vinicius Junior ketika menentang Madrid pada Selasa, tetapi kali ini diberi saat-saat sukar oleh kepantasan dan kelincahan Doku di sebelah kiri City.
Doku memanfaatkan bola lantunan selepas kononnya dibersihkan oleh Ibrahima Konate untuk melepasi Giorgi Mamardashvili sebelum kaki pemain Georgia itu terkena kakinya.
Pengadil Chris Kavanagh pada awalnya tidak memberikan apa-apa, tetapi selepas semakan VAR, penalti diberikan.
Haaland, yang telah menjaringkan 28 gol musim ini untuk kelab dan negara, masih belum menjaringkan gol untuk City melalui penalti dan sekali lagi gagal apabila Mamardashvili menyelamatkan percubaan rendah ke sebelah kiri.
Namun penyerang Norway itu hanya gagal menjaringkan gol dalam dua daripada 18 penampilan musim ini dan bangkit menebus kekecewaan dengan tandukan melambung hasil hantaran Matheus Nunes pada minit ke-29.
Liverpool menyangka mereka menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian apabila tandukan Van Dijk daripada sepakan sudut menuju ke penjuru gawang, tetapi Andy Robertson yang menundukkan badan mengelak bola dikesan mengganggu Gianluigi Donnarumma dari posisi offside.
Sebaliknya, City menambah luka Liverpool setelah rasa tidak puas hati tersebut.
Pertahanan Liverpool lambat keluar selepas situasi sepakan penjuru dan Gonzalez mempunyai masa untuk melakukan percubaan yang kemudian berbelok selepas terkena Van Dijk, memperdaya Mamardashvili.
Liverpool hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana gagal kembali ke dalam permainan awal babak kedua apabila Cody Gakpo menyepak tinggi dengan gawang terbuka selepas gerakan cantik antara Mohamed Salah dan Bradley.
Doku kemudian menutup persembahan terbaiknya dalam tiga musim di City dengan gol bergaya pada minit ke-60.
Pemain Belgium itu memperdaya Konate sebelum melepaskan rembatan melengkung ke penjuru atas dari luar kotak penalti.
Salah kemudiannya merumuskan hari dan musim Liverpool setakat ini apabila dia mensia-siakan peluang emas dengan rembatan tinggi 10 minit sebelum tamat. – AFP