
KANSAS CITY, Amerika Syarikat: Lionel Messi menjaringkan gol dalam setiap perlawanan Piala Dunia setakat ini, namun selepas mengharungi dua aksi kalah mati yang menguji fizikal, mampukah bintang berusia 39 tahun itu terus cemerlang ketika menentang Switzerland pada suku akhir?
Skuad kendalian Lionel Scaloni mara mudah melepasi peringkat kumpulan, namun dipaksa bekerja keras oleh Cape Verde dan Mesir.
Argentina memerlukan masa tambahan untuk menewaskan pendatang baharu Piala Dunia, Cape Verde, pada pusingan 32 terbaik sebelum menang 3-2, manakala mereka bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Mesir pada pusingan 16 terbaik.
Juara bertahan itu memenangi kesemua lima perlawanan mereka setakat ini, dengan aksi cemerlang Messi serta semangat berpasukan yang utuh menjadi faktor utama kejayaan mereka.
Messi menebus kegagalan menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Mesir dengan jaringan tenang ketika Argentina bangkit daripada ketinggalan dua gol pada penghujung perlawanan.
Beliau turut menitiskan air mata sejurus tamat kemenangan mendebarkan 3-2 di Atlanta sambil mengakui terlalu ingin meneruskan perjuangan di Piala Dunia.
“Ini saat yang penuh kegembiraan dan kelegaan. Kami mahu terus kekal dalam kejohanan ini. Kami tidak mahu perjalanan kami berakhir hari ini dan pulang ke tanah air,” kata penyerang Inter Miami itu.
Messi mengakui keletihan selepas beraksi selama 120 minit menentang Cape Verde, namun beliau tetap bermain penuh ketika menentang Mesir dan terus menjadi tonggak utama pasukan.
Perlawanan suku akhir di Stadium Arrowhead pada Sabtu akan membawa Messi kembali ke gelanggang yang menyaksikannya menjaringkan hatrik dalam aksi pembukaan Argentina di Piala Dunia 2026.
Beliau kini mengumpul lapan gol, menyamai pencabar Kasut Emas, Kylian Mbappe.
Messi juga muncul penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia dengan keseluruhan 21 gol sepanjang kariernya.
Semangat berpasukan
Selain kehebatan Messi, kekuatan utama Argentina ialah semangat setiakawan yang luar biasa dalam pasukan.
Argentina kini tidak tewas dalam 11 perlawanan Piala Dunia ketika memburu gelaran berturut-turut, sesuatu yang kali terakhir dicapai Brazil pada 1962.
“Apa sahaja yang berlaku selepas ini, pasukan ini sentiasa membuat saya percaya mereka tidak pernah berhenti berjuang walaupun berada dalam situasi sukar,” kata Scaloni.
Pandangan itu turut dikongsi pemain tengah, Enzo Fernandez, yang menyifatkan pasukan itu “tidak pernah berputus asa walau apa jua cabaran dan kesukaran.”
Namun, terdapat dakwaan bahawa Argentina, yang sentiasa mendapat sokongan ribuan penyokong berbaju biru putih, menerima layanan istimewa sepanjang kejohanan.
Jurulatih Mesir, Hossam Hassan, mendakwa pasukan pengadil ketika aksi pusingan 16 terbaik mungkin menerima “tekanan luar” untuk memihak kepada Argentina, namun dakwaan itu ditolak Ketua Pengadil FIFA, Pierluigi Collina.
Argentina bakal berdepan ujian getir menentang Switzerland yang terkenal dengan disiplin dan corak permainan tersusun di Kansas City.
Diketuai kapten berpengaruh, Granit Xhaka, Switzerland hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.
Anak buah Murat Yakin mara selepas menewaskan Algeria 2-0 pada pusingan 32 terbaik sebelum menyingkirkan Colombia menerusi penentuan sepakan penalti.
Pemain tengah menyerang, Johan Manzambi, menyerlah pada peringkat kumpulan dengan tiga gol, namun terlepas aksi menentang Colombia akibat kecederaan dan masih diragui untuk bertemu Argentina.
Xhaka, 33, berkata Switzerland sudah lama menantikan gabungan pemain muda dan berpengalaman seperti yang dimiliki ketika ini.
“Saya fikir generasi yang kami ada sekarang sangat istimewa.
“Sudah tentu kami cuba berkongsi pengalaman, tetapi yang paling penting ialah mentaliti bahawa walaupun kami negara kecil, segala-galanya tetap mungkin pada tahap tertinggi bola sepak,” kata pemain tengah Sunderland itu.
“Daripada barisan kejurulatihan hingga pemain terakhir, kami semua berhak berbangga dengan apa yang telah dicapai.”
Pemenang perlawanan di Kansas City itu akan bertemu sama ada Norway atau England yang beraksi di Miami, juga pada Sabtu. – AFP