
PARIS, Perancis: Lionel Messi bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-39 ketika Piala Dunia akan datang berlangsung dan beliau sebenarnya boleh sahaja mengundurkan diri daripada arena bola sepak antarabangsa selepas membawa Argentina menjulang kejuaraan di Qatar pada 2022.
Namun demikian, beliau kekal menjadi tonggak utama negaranya dalam usaha mempertahankan trofi tersebut di Amerika Utara.
Legenda Barcelona itu mempamerkan aksi luar biasa tiga setengah tahun lalu apabila menjaringkan tujuh gol dan mencipta tiga bantuan jaringan dalam tujuh perlawanan, termasuk dua gol pada perlawanan akhir epik di Doha menentang Perancis.
Messi turut menyempurnakan sepakan penalti dalam penentuan penalti yang menghadiahkan Argentina gelaran juara dunia.
“Sudah tentu saya mahu menamatkan karier dengan ini. Saya tidak boleh meminta lebih daripada ini,” kata Messi selepas kejayaan tersebut yang dilihat sebagai pelengkap karier gemilangnya.

Bagaimanapun, beliau turut mengakui mahu terus beraksi lebih lama sebagai juara dunia dan akhirnya kekal bersama skuad hingga kejohanan tahun ini.
Ia bakal menjadi penampilan keenam Messi di Piala Dunia, sekali gus mencipta rekod baharu dan keputusan menangguhkan persaraannya pasti melegakan pengendali Argentina, Lionel Scaloni.
Setakat ini, Argentina masih belum mencari pengganti kepada pemain yang dianggap antara terbaik sepanjang zaman itu.
“Tiada pengganti dan memang tidak akan ada pewaris Messi,” kata Scaloni dalam wawancara bersama Flashscore pada September lalu.
Messi sememangnya bukan lagi pemain seperti dahulu selepas meninggalkan Eropah pada 2023 susulan dua musim yang kurang menyerlah bersama Paris Saint-Germain.
Beliau juga tidak lagi beraksi pada tahap tertinggi setiap minggu dan kali terakhir Messi menikmati kemenangan dalam aksi kalah mati Liga Juara-Juara UEFA adalah pada 2020.
Namun, beliau masih berada dalam prestasi terbaik bersama Inter Miami dalam saingan Major League Soccer (MLS) apabila menjaringkan 13 gol dalam 16 perlawanan sepanjang 2026 selepas membantu kelab itu memenangi Piala MLS tahun lalu.
Sekiranya pulih daripada kecederaan ringan hamstring yang memaksanya dikeluarkan ketika menentang Philadelphia Union baru-baru ini, Messi dijangka mengetuai Argentina dalam aksi pembukaan kejohanan menentang Algeria di Kansas City pada 16 Jun.
Menghampiri 200 penampilan antarabangsa Messi turut menambah koleksi trofi bersama Argentina selepas Piala Dunia lalu apabila mengetuai pasukan itu menjuarai Copa America di Amerika Syarikat pada 2024.
Beliau juga muncul penjaring terbanyak dalam kempen kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan.
“Saya cintakan bola sepak dan akan terus bermain selagi saya mampu,” katanya baru-baru ini.
Messi pertama kali beraksi di Piala Dunia ketika remaja pada edisi 2006 di Jerman sebelum mengetuai Argentina mara ke perlawanan akhir di Brazil pada 2014, namun tewas kepada Jerman dalam masa tambahan.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Argentina itu juga merupakan pemain yang paling banyak membuat penampilan untuk negaranya dan kini hanya memerlukan dua lagi perlawanan untuk mencapai 200 caps.
Beliau mungkin mencapai angka tersebut sebelum aksi pembukaan Piala Dunia apabila Argentina terlebih dahulu dijadual menentang Honduras di Texas dan Iceland di Alabama dalam aksi persahabatan.
Argentina kemudian memulakan kempen Piala Dunia menentang Algeria sebelum turut berdepan Austria dan Jordan di Arlington, Texas dalam Kumpulan J.
Perlawanan menentang Jordan berlangsung tiga hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-39.
“Kami semua sedar ini mungkin Piala Dunia terakhir Leo memandangkan usianya, tetapi keputusan tetap di tangannya,” kata rakan sepasukan, Julian Alvarez, dalam wawancara bersama FIFA.com.
“Ia pasti menjadikan Piala Dunia ini sesuatu yang istimewa, bukan sahaja untuk kami, rakan sepasukan dan rakyat Argentina, malah kepada semua yang mengikuti dan menontonnya kerana dia ialah pemain terbaik sepanjang zaman.
“Dia memberikan impak besar di seluruh dunia.”
Namun demikian, kehadiran penyerang Atletico Madrid berusia 26 tahun, Alvarez, menunjukkan Argentina tidak terlalu bergantung kepada legenda veteran mereka itu.
Alvarez sendiri merupakan pemain bertaraf dunia dalam skuad yang turut dibarisi Lautaro Martinez, Nico Paz, Enzo Fernandez, Alexis Mac Allister, Cristian Romero dan Emiliano Martinez.
Kemenangan terbesar Argentina dalam aksi kelayakan, iaitu menewaskan Brazil 4-1 di laman sendiri, dicapai tanpa Messi.
“Sebagai rakyat Argentina, semangat itu sentiasa ada dan kami sentiasa mahu muncul juara. Tiada sebab kali ini harus berbeza,” tambah Alvarez. – AFP