Oleh: Abg Zainoren Jess
RINTIK-RINTIK hujan yang membasahi jalan menuju ke gedung yang beratapkan rumbia itu, dimana rakyat sedang berhimpun menunggu waktu pengisytiharan penyerahan pemerintahan Brooke kepada Kerajaan British membuat hati Malik berdegup kencang untuk memikirkan masa depan generasi dan negerinya.
Malik kecewa, sedih, menangis dalam hatinya yang tidak putus-putus sejak kerajaan Brooke mengumumkan bahawa Sarawak akan diserahkan kepada pemerintahan koloni British beberapa hari yang lalu, membuat keadaannya tidak keruan dan rasa marah yang amat sukar dibendung. Dan hari ini adalah hari yang ditunggu-tunggu rakyat semata-mata untuk mengetahui adakah benar tindakan Vyner Brooke itu berhasrat menyerahkan kuasa pemerintahan kepada British.
Malik dapat tahu sejak pengumuman Brooke bahawa Sarawak akan diserahkan kepada pemerintahan kerajaan Queen Elizabeth, sebanyak 338 orang kakitangan awam yang kebanyakannya para guru di Sarawak telah meletakan jawatan mereka sebagai tanda protes terhadap penyerahan itu dan bermulanya gerakan dan demonstarasi anti-penyerahan, yang begitu popular dengan istilah gerakan ’anti-cession’, di seluruh negeri ini. Semangat itulah yang menjadi dorongan kepada Malik untuk turut sama menentang penyerahan itu, walaupun dia bukan siapa-siapa, hanya rakyat biasa di kalangan rakyat marhaen yang inginkan kebebasan.
Langkah Malik menuju gedung terus di gagahi untuk melihat apa sebenarnya berlaku dalam himpunan rakyat itu. Malik yang masih muda remaja berusia 21 tahun itu menyadari bahawa keadaan pasti akan berubah di bumi kelahirannya itu setelah berubahnya pemerintahan Kerajaan Negeri.
“Celaka orang putih, celaka Brooke!!!!!,” rungut Malik dengan nada marahnya, sambil menggenggam erat gagang handle basikal tua nya itu seperti hendak mematahkan handle basikalnya, dengan bibirnya sekali-sekala terketar-ketar tanda marah yang tidak terhingga, biji matanya terbeliak memerah kerana menahan kemarahannya.
Malik, anak tunggal dari Pak Rahman dan Mak Munah, seorang yang sering bersikap tegas. Dia gemar berbahas atas beberapa isu yang membabitkan masyarakat kampungnya walaupun dengan pendidikan yang tidak begitu baik. Pembelajarannya yang kandas ditengah jalan akibat pendudukan Jepun sebelum itu dan juga kerana kesulitan hidup keluarga yang amat memerlukan tenaganya untuk membantu. Dari kejauhan, Malik mendengar suara tangisan, teriakan orang ramai yang sedang berhimpun di gedung tersebut. Sekali sekala terdengar teriakan sumpah seranah orang ramai kepada British.
Suasana tampak bertambah tegang apabila kelihatan beberapa pegawai British yang diiringi oleh beberapa pegawai yang terdiri daripada orang tempatan mula naik ke pentas untuk mengisytiharkan penyerahan pemerintahan Brooke kepada British itu.
Pekikan “booooo……..!” turut kedengaran dengan jelas sekitar kawasan gedung itu, walaupun kelihatan beberapa anggota polis yang mengawal sekitar kawasan, tampak sukar untuk mengawal.
Malik terus mendekati orang ramai yang berhimpun dan cuba memasuki celah-celah orang ramai yang sedang berdiri sekitar kawasan gedung tua itu. Malik tanpa sedar sedang merempuh himpunan orang ramai ketika itu akibat kemarahannya yang meluap-luap. Rintik-rintik hujan terus turun membasahi bumi pagi itu dan ramai juga yang hadir ke gedung itu tidak membawa payung.
“Jahanam para pengkhianat bangsa…!!!” teriak orang ramai setelah melihat wajah lima orang pegawai tempatan yang mendokong pengisytiharan tersebut.
Namun dicelah-celah keramaian itu terdapat beberapa orang yang menyokong penyerahan itu, kebanyakan mereka terpaksa mendiamkan diri kerana bimbang akan berlaku kekecohan dalam perhimpunan ramai itu. Dan kebanyakan mereka adalah sanak-saudara dan ahli keluarga para pegawai tempatan yang berada di pentas bersama pegawai Inggeris itu. Mereka membisu sambil memerhati tingkah laku orang ramai disekeliling mereka. Pegawai British yang berpakaian rasmi kerajaan Inggeris itu, yang berwarna putih dan bertopi tinggi sambil tersenyum tidak langsung mengindahkan teriakan orang ramai, seolah-olah mereka tidak memahami apa yang diteriakkan oleh himpunan ramai itu. Mungkinkah ada pegawai tempatan itu memberitahu makna disebalik teriakkan orang ramai itu seolah-olah seperti teriakan “HIDUP BRITISH…!!”, mungkin kerana itu pegawai-pegawai Inggeris itu tersenyum lebar kegembiraan, seolah-olah rakyat menerima mereka dengan tangan terbuka,
“Kenapa ada orang kita dipentas itu?” tanya Malik kepada sesiapa sahaja yang berada berdekatan dengannya.
Dalam hati Malik mungkin mereka ini dibayar untuk menyokong tindakan Vyner Brooke. Yang pastinya ada dikalangan yang hadir di situ mengenali siapa pegawai-pegawai tempatan itu, hanyasanya mereka enggan untuk memberitahu siapa mereka. Kemarahan Malik kian meluap-luap setelah melihat kehadiran pegawai-pegawai tempatan yang mendampingi pegawai-pegawai Inggeris ketika acara pengisytiharan itu hendak dimulakan.
“Para pengkhianat ini perlu diajar…” rungut Malik dalam hatinya.
Di luar gedung hujan terus turun tanpa henti dalam keadaan rintik-rintik halus walaupun tidak lebat dan terus ‘menangisi’ keadaan ketika itu, sekali sekala terdengar dentuman guruh dilangit yang menambah suasana sedih pagi itu. Malik terus bergegas menuju barisan hadapan mendekatii pentas, yang telah dibina khas didalam gedung itu, kerana ingin mendengar apa yang diisytiharkan oleh para pegawai Inggeris itu.
Di atas pentas kelihatan seorang pegawai Ingeris sedang membuka helaian kertas pengisytiharan yang akan di baca di hadapan khalayak itu. Dalam keriuhan dan teriakan massa yang memenuhi setiap sudut dan ruang gedung itu, tiba-tiba sosok seorang Malik cuba menyerbu ke atas pentas, namun cepat-cepat dapat ditahan oleh mereka yang berdekatan.
“Jangan bertindak sembarangan Malik…!” terjah seorang temannya, Bujang Ahim, yang kebetulan berada disitu untuk sama-sama orang ramai cuba mengikuti perkembangan hari itu. “Ingat Malik, kita ini orang kecil, kita tidak mampu melawan mereka Malik,” beritahu Bujang Ahim lagi kepada Malik.
Malik meronta-ronta untuk melepaskan diri dari cengkaman tangan Bujang yang ternyata lebih gagah dari nya. Bujang yang berbadan sasa seorang anak tani yang gigih dalam usaha pertaniannya, bagi membantu orang tuanya bertani. Mungkin tenaga yang ada pada Bujang itu kerana setiap hari membanting tulang dengan tenaganya bekerja di kebun membantu kedua-dua orang tuanya.
Di barisan belakang himpunan ramai itu teriakan “merdeka….merdeka….merdeka!!!” bergema dan membuat suasana semakin galak dan riuh rendah sehingga membuat pegawai British, yang mewakili Raja Vyner Brooke yang berada di pentas terpaksa menunggu ruang untuk meneruskan pembacaan pengisytiharan itu, sedang kertas pengisytiharan terus berada dalam tangannya dan sukar untuk dibaca kerana kebisingan akibat teriakan massa ketika itu.
Ketika di rumah, ibu dan ayah Malik dalam keadaan yang membingungkan setelah Malik memberitahu mereka untuk ke tempat himpunan dan seterusnya akan bertindak terhadap pegawai British itu. Walaupun telah berkali-kali dinasihati, kedegilan Malik sukar dibendung.
“Biarlah aku mati hari ini, asal negeriku tidak hancur….!” tergah Malik ketika hendak mengelakkan dirinya dari halangan orang tuanya pagi itu.
Malik bergegas menuruni anak tangga sambil mencapai basikal tuanya dan terus memecut menuju gedung walaupun rintik-rintik hujan amat terasa olehnya..
“Bagaimana ni Bang?” tanya Mak Munah kepada suaminya dalam kebingungan sambil menitiskan air matanya kerana bimbang akan tindakan Malik nanti. Rahman yang juga dalam kebingungan dengan sikap anak tunggalnya itu, dengan pantas bangkit dari duduknya dan terus bergerak menuju biliknya untuk bersalin pakaian.
“Mari, kita turun ke gedung. Kita cuba dapatkan beberapa orang kawan Malik supaya mereka dapat menghalang tindakan Malik nanti. Kita dapatkan Bujang Ahim nanti, kerana Bujang kawan si Malik,” jelas Pak Rahman yang kini sudah menjangkau usia 60an. Mak Munah mengangguk faham.
Mereka melangkah keluar meninggalkan rumah dengan penuh debar, takut-takut berlaku perkara yang tidak diingini dengan anak mereka. Gedung yang terletak tidak jauh dari rumah mereka itu, sudah tentu tidak menjadi masalah kepada kedua orang tua itu mendatanginya. Terbayang oleh Mak Munah sekiranya Malik akan digari dan ditahan oleh pihak polis yang mengawal perhimpunan itu. Tergesa-gesa kedua orang tua itu melangkahkan kaki mereka menuju gedung dengan harapan dapat menemui Bujang Ahim di situ.
“Nak ke mana tu, Rahman dan Munah, nampak macam tergesa-gesa tu….!?”, Mereka terkejut di sapa oleh Mak Timah, pengusaha warong yang sedang melayan pelanggannya yang agak ramai ketika itu.
“Ke gedung, Timah, engkau tak pergikah?” jawab selamba Pak Rahman sambil meneruskan perjalanannya menuju warong.
“Taklah….” jawab Mak Timah sambil melayan pelanggannya.
“Tak singgah dulukah? minum dulu…..” kata Mak Timah.
“Taklah kami nak cepat ni, takut terlepas drama yang sedang berlaku sekarang di gedung,” kata Mak Munah.
Di warung Mak Timah, tampak beberapa penduduk kampung seperti Salleh, Othman, Musa, Sidi dan beberapa orang teman lain sedang duduk minum sambil berbual-bual mengenai himpunan di gedung itu.
“Bagi akulah, buat apa kita sibuk-sibuk nak merdeka, biarlah British memerintah. Masa ini kan negeri kita tidak mempunyai wang untuk membangun,” kata Salleh sambil menghirup kopi o panas nya.
Mendengar luahan Salleh itu terasa juga di hati Othman yang duduk disebelahnya, kerana bagi Othman rakyat harus di beri peluang untuk merasakan pemerintahan sendiri.
“Mak Timah, bagaimana pendapat Mak Timah kalau negeri kita diserahkan kepada British?” tanya Othman untuk mengelakan si Salleh terus berceramah.
“Ah biarkanlah Man. Mak Timah ni bersyukur ada juga sedikit rezeki hasil dari usaha di warong ni. Mak Timah tak pernah fikirkan hal itu Man. Biarlah orang atas fikir macam mana nak jaga negeri ini,” jawab Mak Timah selamba sambil menghulur kopi O yang dipesan oleh Othman sebelum itu.
“Betul juga kata Mak Timah ni,” kata hati Othman, namun hatinya masih ingin melihat negeri ini diperintah oleh anak negeri sendiri.
“Kau lihat sendiri Man, kampung kita ni jauh terpencil di pedalaman, tiada bekalan letrik dan air. Kalau tiada hujan, susah kita nak minum dan memasak. Begitu juga letrik, kalau tak ada generator tidak berapilah rumah kita,” sambung Salleh lagi.
Kebisingan di warong itu sekali sekala mengganggu juga pelanggannya yang sedang menikmati makanan dan minuman. Suasana agak gamat juga di warong itu, namun Mak Timah terus fokus kepada urusannya melayani permintaan pelanggan yang dibantu oleh anak-anaknya. Bidin dan Faridah.
“Ah…nampaknya hujan seperti ini lambat lagi mahu berhenti,” rungut Pak Amin, seorang tua yang berusia kira-kira 80 tahun.Dalam usianya yang dah menjangkau platinum itu, beliau ternyata masih juga kuat merokok.
Sambil menyedut asap rokoknya, Pak Amin memandang keliling kalau-kalau ada terdapat temannya membawa payung bolehlah tumpang sekaki untuk ke gedung itu. Pak Amin yang datang sendirian ke warong itu, pada mulanya hendak terus ke gedung, namun langkahnya tersekat kerana hujan terus turun walaupun tidak berapa lebat. Dia terpaksa singgah juga ke warong itu sambil duduk memesan kopi o panas sementara menunggu hujan berhenti.
“Aku ni dah puas hidup dibawah jajahan orang luar. Dari pemerintahan Brunei, ke kerajaan Raja Brooke sehingga ke pemerintahan British, bila lagi aku nak rasa kebebasan. Ingin juga nak lihat anak bangsa sendiri memerintah,” rungut Pak Amin di hadapan teman-teman yang duduk semeja dengannya, sambil matanya memerhati tingkah laku Salleh dan teman-temannya dimeja sebelah.
“Tidak mudah kita nak memerintah sendiri Man. Bagaimana kita nak membangunkan negeri kalau tiada duit…..?” kata Salleh lagi sambil turut memesan mee gorengnya setelah melihat Othman berbuat demikian. Ini dituruti oleh beberapa orang teman lain yang turut memesan mee goreng masing-masing.
Di sepanjang jalan kecil di kampung itu, yang hanya dapat dilalui dengan menggunakan basikal atau motosikal sahaja, kelihatan begitu ramai orang yang berulang alik dari gedung dan yang hendak menuju ke gedung, kebanyakkannya berjalan kaki kerana kedudukan gedung tidaklah begitu jauh. Gedung bekas kilang padi itu telah lama ditinggalkan kerana tiada pengusaha yang dapat meneruskan usaha tersebut sehingga membuat para pesawah di kampung itu terpaksa menjual padi mereka kepada orang bangsa lain di pasar. Jualan melalui orang tengah pastinya tidak begitu menguntungkan orang kampung tapi apakan daya hanya itu sahaja satu-satunya tempat mereka menjual hasil padi kepada tokey Ah Chong, yang begitu di kenali oleh para pesawah di kampung itu, sejak kilang padi di kampung itu tidak lagi beroperasi.
Di gedung, kekecohan berlaku akibat daripada keadaan yang sukar dikawal apabila orang ramai menyerbu menghampiri pentas sambil mendesak pegawai British itu tidak perlu membaca pengisytiharan itu. Malik yang dari tadi masih menahan kemarahannya, cuba melepaskan diri dari cengkaman teman-temannya yang lain yang ikut bersama Bujang Ahim, dan cuba naik ke pentas untuk merampas surat pengisytiharan yang berada ditangan pegawai Inggeris itu. Akhirnya Malik berjaya meloloskan dirinya dan terus menerjah ke pentas dan sempat merampas kertas ditangan pegawai Inggeris itu. Malik terus mengoyak dengan lumat kertas pengisytiharan itu, sementara kekecohan terus berlaku dengan orang ramai cuba merapati hadapan pentas yang hanya setinggi dua kaki sahaja dan mudah untuk orang ramai terus mendekatinya.
Dalam kekecohan itu tiba-tiba tedengar bunyi letupan dari hasil tembakan senapang pihak polis. Malik tersungkur rebah dilantai pentas dengan darah mengalir dari perutnya, dan beberapa yang lain berhampiran turut cedera, termasuk pegawai Inggeris itu yang merengeh kesakitan menahan luka ditangannya.Malik tidak lagi berupaya untuk bergerak.
Suara teriakan dan tangisan dikalangan kaum ibu turut kedengaran setelah berlaku tembakan oleh pengawal keselamatan. Suasana kelam kabut menyelubungi sekitar gedung itu dan terdengar laungan Allahu Akbar dikalangan orang ramai.
“Malik tertembak…..!” suara teriakan memecah kegawatan dan kekecohan itu menyebabkana orang ramai panik dan cuba melarikan diri dari himpunan tersebut tapi sukar kerana asakan ramai yang terus maju kehadapan untuk melihat keadaan Malik yang parah.
Kaum ibu yang turut berkumpul di gedung itu, turut histeria dan panik dan berlari keluar meninggalkan gedung itu sambil berteriak. Ada yang menangis dan ketakutan melihat kejadian tersebut. Menurut mereka yang berada berhampiran pengawal keselamatan bersenjata itu, tembakan itu di lepas tanpa sengaja, walaupun pengawal keselamatan itu ada mengacukan senjatanya ke arah Malik, tapi akibat asakan orang ramai, picu senjata tersebut terpetik jari oleh pengawal keselamatan itu sehingga dua das tembakan terlepas, satu mengenai Malik dan satu lagi mengenai pegawai Inggeris itu, walaupun hanya terkena tangannya.
Teman-teman Malik yang berada disitu cuba untuk menolong tapi dihalang oleh para anggota polis yang berkawal, kerana bimbang akan berlaku serangan terhadap pegawai-pegawai lain dipentas itu, yang kesemua mereka telah cuba beredar meninggalkan pentas tersebut. Beberapa orang anak kamung turut mengawal keadaan ketika itu termasuk menjaga keselamatan pegawai-pegawai Inggeris dan pegawai-pegawai tempatan itu agar tidak berlaku lagi keadaan yang lebih buruk.
Malik rebah ke lantai pentas dengan tangannya masih menggenggam erat kertas pengisytiharan yang berjaya dikoyaknya di hadapan pegawai Inggeris itu, sedang pegawai Inggeris yang cedera berjaya dibawa keluar oleh para pengawal keselamatan dan dilarikan ke rumah sakit dengan menggunakan bot yang terletak di sungai berhampiran. Malik juga turut dibawa ke klinik di pasar berdekatan kampung itu oleh teman-temannya kemudian, walaupun kemudian Malik disahkan menghembuskan nafas terakhirnya dalam perjalanan dengan menggunakan motosikal sahabatnya. Malik pergi dengan serpihan kertas pengisytiharan masih melekat ditangannya.