
PUTRAJAYA: Malaysia buat julung kalinya menjadi tuan rumah acara sampingan sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia kali ke-78 (WHA78) di Geneva, Switzerland, semalam.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan acara bertajuk “Kiraan Detik Menuju Mesyuarat Tahap Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD): Dari Bangkok Ke New York” itu, dirasmikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Penganjuran acara bertemakan ‘Memajukan Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) Untuk Kesihatan Mulut Menjelang 2030’ itu, hasil kerjasama strategik antarabangsa melibatkan negara seperti Bahamas, Mesir, Perancis, Filipina dan Thailand, bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), FDI World Dental Federation, University College London serta Village Research.
“Acara ini memperkukuh mesej Deklarasi Bangkok: ‘Tiada Kesihatan Tanpa Kesihatan Mulut’, yang menyeru agar penyakit mulut diberi keutamaan dalam agenda kesihatan global.
“Deklarasi ini menegaskan komitmen negara anggota terhadap Resolusi Kesihatan Mulut WHA 2021 dan menyarankan agar kesihatan mulut diintegrasikan dalam sistem penjagaan kesihatan primer dan agenda Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), selaras dengan matlamat Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) dan kelestarian alam sekitar,” menurut kenyataan KKM itu.
Deklarasi tersebut turut mencadangkan agar sasaran utama dalam Pelan Tindakan Kesihatan Mulut Global 2023 hingga 2030, dimasukkan dalam Deklarasi Politik Mesyuarat Peringkat Tinggi Keempat PBB (UNHLM) Mengenai NCD, yang akan diadakan pada Sept ini di New York.
“Penubuhan Gabungan Global untuk Kesihatan Mulut juga diumumkan sebagai platform kerjasama antara negara dan rakan kongsi untuk menyokong tindakan bersama.
Matlamat utama acara itu bagi mempromosikan Deklarasi Bangkok sebagai rujukan dalam merangka Deklarasi UNHLM, serta meneroka peluang sinergi antara pelbagai pihak bagi memastikan penyakit mulut diangkat dalam agenda global NCD.
“Ia juga untuk berkongsi amalan terbaik dalam integrasi penjagaan kesihatan mulut dalam kerangka UHC dan NCD,” menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan Malaysia kekal komited untuk memperjuangkan kesihatan mulut sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia dan akan terus berganding bahu bersama rakan strategik antarabangsa untuk memperluas akses serta mengurangkan beban penyakit pergigian menjelang 2030.
Menurut WHO, penyakit mulut menjejaskan 3.7 bilion penduduk dunia dan merupakan antara NCD yang paling meluas. Di Malaysia dianggarkan 94.6 peratus orang dewasa memerlukan rawatan pergigian dan ini adalah menurut Tinjauan Kesihatan Kebangsaan tahun 2020.– Bernama