
KUCHING: Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai peneraju utama ekonomi Islam global selepas laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2024/25 yang diterbitkan oleh DinarStandard mengekalkan negara ini di tangga teratas dunia dalam Global Islamic Economy Indicator (GIEI) selama 11 tahun berturut-turut.
Pencapaian itu didorong oleh prestasi cemerlang Malaysia dalam pelbagai sektor utama termasuk makanan halal, kewangan Islam, pelancongan mesra Muslim, farmaseutikal, kosmetik serta media dan rekreasi.
Menurut laporan berkenaan, ekonomi halal Malaysia diunjur mencecah RM520 bilion menjelang 2028, dengan pelaburan halal bernilai RM4 bilion direkodkan pada 2024. Malaysia turut diiktiraf sebagai model global dalam pembangunan ekosistem halal dan penyelarasan piawaian melalui kerjasama strategik antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Saudi Food and Drug Authority (SFDA) dan International Halal Foundation and Accreditation Board (IFHAB).
Bagi konteks serantau, Sarawak semakin menonjol sebagai hab pertumbuhan halal utama di Malaysia Timur, dipacu oleh kekuatan asas pertanian, kemajuan industri pemprosesan makanan serta sokongan infrastruktur logistik yang kukuh. Penekanan negeri itu terhadap pengeluaran halal dan agroindustri bernilai tambah dijangka memperkukuh sumbangan Malaysia kepada perdagangan halal global.
Sementara itu, pelancaran Terjemahan dan Penjelasan Standard Syariah AAOIFI mengenai Wakaf yang diadakan hari ini di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange, hasil kerjasama antara MBSB Berhad (MBSB) dan pakar tempatan, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh tadbir urus wakaf di negara ini.
Dokumen tersebut memperkenalkan rujukan syariah bersatu bagi meningkatkan ketelusan, penyelarasan undang-undang negeri serta keseragaman amalan dalam pengurusan aset wakaf nasional yang dianggarkan melebihi RM1.3 trilion.
Oleh Amanda L