Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Malaysia terus pacu kemajuan ekonomi tanpa ketepikan nilai kemanusiaan – PM Anwar
  • NASIONAL

Malaysia terus pacu kemajuan ekonomi tanpa ketepikan nilai kemanusiaan – PM Anwar

Utusan Sarawak 5 hours ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth hari ini. Foto Bernama

BUTTERWORTH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus memacu pertumbuhan ekonominya namun seiring dengan pemerkasaan budaya, budi pekerti dan nilai kemanusiaan.

Beliau berkata kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan transisi tenaga adalah penting namun pencapaian dalam bidang berkenaan tidak akan dibiar mengorbankan karamah insaniah.

“Kita mahu maju (dalam bidang) ekonomi tetapi tinggi budaya dan budi pekerti. Kita mahu mencatat kemajuan dalam AI, digital dan transisi energi, tetapi tidak tinggalkan nilai kemanusiaan,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Malaysia 2025 di sini, malam ini. 

Sambutan yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ di Pusat Konvensyen PICCA@Arena itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.

Dalam pada itu, Anwar berkata antara cabaran utama kepimpinan kini untuk mengisi kemerdekaan adalah memastikan ekonomi melonjak dengan pembaharuan menyeluruh yang mampu mengangkat kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata Pulau Pinang merupakan antara negeri terawal memacu industri berteknologi tinggi sebelum ia berkembang ke Kulim Hi-Tech di Kedah dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Perak. 

Katanya Johor juga kini muncul sebagai gergasi ekonomi khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dengan rekod suku pertama 2025 menunjukkan negeri itu paling berjaya menarik pelaburan berikutan dasar kerajaan Persekutuan termasuk pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

Menurut Anwar, Sarawak pula telah bangkit dan berpotensi sebagai hab tenaga utama di rantau Asia menerusi pembangunan tenaga hijau serta pelaburan baharu dalam industri fabrikasi berteknologi tinggi.

“Bayangkan, 30 atau 50 tahun lalu keadaan berbeza. Hari ini, Sarawak mampu bersaing dengan negeri-negeri di Semenanjung,” katanya.

Bagi Sabah, beliau yakin negeri itu mempunyai potensi besar dan sekiranya landasan pembangunan negeri berkenaan kekal mantap dengan hubungan erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan terus terpelihara, Sabah dijangka mencatat kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia menjelang 2026.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow selaku tuan rumah, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Edisi sambutan Hari Malaysia kali ini berlangsung di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi penganjuran acara itu antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.

-BERNAMA

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Hari Malaysia 2025 diraikan meriah, serlah semangat patriotisme

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.