
KUALA LUMPUR: Kemunculan Malaysia sebagai peneraju utama pusat data serantau pada masa ini semakin ketara, namun langkah berani selanjutnya oleh negara ini adalah dengan memastikan ledakan infrastruktur digital ini memberikan penggandaan ekonomi penting meliputi industri dan komuniti.
Malaysia telah menarik pelaburan digital sebanyak RM278 bilion (AS$62.8 bilion) sejak 2021 hingga 2024 — dengan sebanyak RM184.7 bilion (AS$41.7 bilion) daripadanya adalah berkaitan pusat data.
Teras kepada transformasi ini adalah bermatlamat untuk memastikan pembangunan sektor berkenaan membawa manfaat terbesar kepada rakyat Malaysia — melahirkan pekerjaan, menarik pelaburan berintensif pengetahuan dan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap potensi jangka panjang sektor itu.
Malaysia berhasrat untuk beranjak melebihi daripada identitinya sebagai negara perdagangan untuk muncul sebagai negara teknologi, dan sektor pusat data boleh berperanan sebagai pemangkin penting dalam peralihan kepada hab data.
Pendekatan keseluruhan rantaian nilai sedang diguna pakai untuk memastikan sektor ini berkembang dengan kaedah yang mampan dari segi kewangan dan alam sekitar, dan pada masa sama menyokong ekosistem perkhidmatan yang mantap, pembangunan teknologi tempatan dan hubungan yang kukuh kepada tenaga boleh baharu.
Indeks Peluang Pusat Data SEA-5 oleh Knight Frank meletakkan Malaysia pada kedudukan teratas dalam sektor pusat data Asia Tenggara selama dua tahun berturut-turut (2023–2024).
Bagi menyokong usaha ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited untuk memastikan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia terutama perkembangan pesat pusat data, diterjemahkan kepada manfaat yang nyata kepada syarikat tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menekankan matlamat kepada bukan sekadar hos dalam kalangan infrastruktur global, malah bagi membangunkan kemantapan rantaian bekalan domestik yang berupaya menyokong dan berkembang seiring dengan sektor ini.
“Aspirasi Malaysia adalah melebihi daripada hab data serantau. Kami sedang memungkinkan pengganda ekonomi jangka panjang melalui penyelarasan dasar yang kukuh, penyetempatan rantaian bekalan, dan kerjasama teknologi yang memberi manfaat kepada perniagaan Malaysia.
“Pasaran pusat data negara diunjurkan meningkat daripada US$4.04 bilion (US$1=RM4.29) pada 2024 kepada US$13.57 bilion menjelang 2030, dipacu oleh kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 22.38 peratus,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.
Memperteguh ekosistem
Menurut Sikh Shamsul, usaha memperkukuh ekosistem pusat data meliputi sesi padanan perniagaan antara syarikat multinasional dan vendor tempatan melalui program rantaian bekalan seperti Data Centre Nexus 2025 yang dianjurkan MIDA pada 8 Mei 2025.
Program ini dihasilkan dengan perubahan strategik dari segi fokus — daripada menarik pelaburan kepada memupuk kerjasama, memperkukuh rantaian bekalan tempatan Malaysia, dan menangani jurang kritikal dalam ekosistem pusat data bagi memacu impak ekonomi jangka panjang.
Matlamatnya bukan sahaja untuk membina keyakinan pelabur terhadap keupayaan pengeluar tempatan untuk melaksanakannya di Malaysia malah untuk meningkatkan keupayaan mereka sehingga boleh bersaing dan berkembang maju di peringkat global.
Dengan mengukuhkan kesediaan rantaian bekalan dan selari dengan piawaian antarabangsa, Malaysia berhasrat untuk memupuk jaguh tempatan yang bukan sahaja boleh menyokong pembangunan pusat data di dalam negara, malah mengeksport produk dan perkhidmatan ke pasaran serantau dan global.
Usaha ini turut meneroka pemacu dasar bagi mempercepat transformasi digital serta menggalakkan penggunaan teknologi awan sebagai pemangkin inovasi dan ketahanan ekonomi.
Kerajaan turut berusaha untuk mencegah pembinaan pusat data secara spekulatif yang boleh membawa kepada persaingan yang tidak sihat terhadap penggunaan tenaga dan tanah, sekali gus mengekalkan keseimbangan pasaran dan kelestarian jangka panjang.
“Kami akan terus memperkasakan pelaburan digital dengan menghapuskan halangan, memperkemas sokongan kawal selia dan memastikan infrastruktur digital Malaysia bersedia untuk menjana gelombang inovasi baharu berpacukan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Industri tempatan menyahut cabaran
Pengurus Besar Kumpulan Dunham-Bush Industries Kong Wai Yong berkata reputasi Malaysia yang semakin berkembang sebagai hab pelaburan digital sekali gus telah membuka peluang projek baharu serta menjalin kerjasama strategik dalam sektor pusat data.
“Sebagai pengeluar global sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) yang berpusat di Malaysia, Dunham-Bush telah menyaksikan peningkatan ketara dalam permintaan terhadap penyelesaian penyejukan tepat dan cekap tenaga yang direka khusus untuk infrastruktur kritikal seperti pusat data.
“Lonjakan permintaan ini membolehkan kami memperluas kapasiti pengeluaran tempatan, melabur dalam penyelidikan dan pembangunan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat penyedia penyelesaian HVAC bernilai tinggi untuk pusat data,” katanya.
Kong berkata kerjasama yang lebih mendalam dengan MIDA memberikan nilai besar terutamanya dalam menyelaraskan keupayaan dan teknologi tempatan dengan keperluan pelabur global yang semakin berkembang terhadap pusat data.
“Terdapat peluang kukuh dalam inisiatif inovasi bersama, program pembangunan tenaga kerja, kecekapan tenaga dan penggunaan teknologi hijau.
“Dengan sokongan MIDA, Dunham-Bush dapat mempercepat pelaksanaan penyelesaian penyejukan generasi baharu yang memenuhi jangkaan dari segi kecekapan dan kelestarian alam sekitar pusat data,” kata beliau.
Mewujudkan sinergi dalam kalangan pemain tempatan
Dalam persekitaran permintaan pusat data di Malaysia yang semakin berkembang ini, kalangan pemain dalam ekosistem berkaitan menyedari keperluan menyelaraskan rangka kerja yang dapat membimbing pemain rantaian bekalan tempatan untuk meningkatkan keupayaan mereka.
Pengurus Besar Maytech Cleanroom Manufacturing Sdn Bhd Ng Wei Lin berkata industri pusat data Malaysia yang semakin matang membuka peluang baharu kepada pengeluar tempatan untuk berkembang dan menyokong permintaan projek yang lebih canggih.
“Penglibatan proaktif MIDA serta inisiatif rantaian bekalan adalah penting bagi menyelaraskan pemain tempatan dengan piawaian antarabangsa dan memenuhi jangkaan pelabur. Rangka kerja yang jelas akan mengukuhkan lagi usaha ini dengan membentuk keupayaan dan mewujudkan sinergi dalam ekosistem.
“Direktori berstruktur yang mengkategorikan tahap kesiapsiagaan dan piawaian rantaian bekalan akan membantu pengeluar tempatan menepati permintaan global. Apabila pelabur melihat ekosistem yang kohesif dan berasaskan kualiti, mereka akan lebih yakin untuk mengembangkan operasi di Malaysia,” katanya.
Menyedari keperluan segera untuk mengutamakan kelestarian dan memastikan keyakinan pelabur, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memperkenalkan Garis Panduan Pembangunan Mampan Pusat Data bagi meletakkan hala tuju sektor ini ke arah amalan terbaik bertaraf global.
“Garis panduan ini menawarkan laluan berstruktur untuk pelabur mematuhi amalan terbaik antarabangsa dan melayakkan diri untuk insentif di bawah Skim Pemecutan Ekosistem Digital, yang memastikan ekosistem pusat data kita kekal berdaya saing dan bersedia untuk masa depan,” kata Sikh Shamsul. — Bernama