KUALA LUMPUR: Malaysia mendahului sebagai pasaran Sukuk terbesar dunia pada 2020, dengan kebanyakan terbitan berkaitan dengan prinsip Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Memetik laporan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), beliau berkata Malaysia menyumbang lebih 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pasaran sukuk dunia atau kira-kira AS$258 bilion.
“Negara mencatatkan lebih banyak terbitan Sukuk yang berkaitan dengan prinsip Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab.
“Daripada membiayai prasarana tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro, kepada menyokong tujuan sosial, seperti pembiayaan mikro dan pendidikan, penerbit Sukuk Malaysia kelihatan berminat dengan usaha niaga seperti itu, mencerminkan peningkatan komitmen kukuh ke arah masa depan yang mampan menerusi produk pembiayaan Islam,” katanya dalam satu ucapan khas bersempena dengan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) ke-16 yang diadakan secara maya pada Selasa.
Tengku Zafrul berkata data daripada pasaran saham dan industri pengurusan dana juga membuktikan kewangan Islam menunjukkan daya tahan yang padu dan terus menarik pelabur semasa tempoh tidak menentu ini.
“Ini membawa kepada lebih banyak permintaan terhadap pelaburan berasaskan Syariah dengan jumlah aset Islam di bawah pengurusan berkembang daripada 22 peratus daripada keseluruhan aset pada 2017 kepada 24 peratus pada akhir 2020 bernilai RM217 bilion,” katanya.
Mengenai perkembangan lain, beliau berkata Malaysia akan membangunkan Hab Kewangan Islam 2.0 di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).
Menurutnya, di bawah 15 Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utamanya (KEGA), Malaysia berkedudukan baik untuk menerajui sektor ini di peringkat global.
“Inisiatif lain adalah untuk menggerakkan kemakmuran bersama termasuk kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam menggunakan struktur wakaf bagi tujuan sosial,” katanya.
Tengku Zafrul berkata WKB2030 juga mengetengahkan potensi dan rancangan Malaysia untuk memanfaatkan pasaran halal bernilai AS$3 trilion.
“Komitmen kukuh Malaysia dalam mempromosikan industri halal boleh dilihat menerusi pelaburan kita bernilai RM14 bilion untuk membangunkan taman halal dengan perniagaan berorientasikan halal akan mendapat manfaat daripada prasarana, perkhidmatan sokongan dan insentif cukai.
“Ini bukan sahaja akan memacu hasrat Malaysia menjadi hab halal global, tetapi juga membantu dunia menjadi lebih berdaya tahan pada era pasca pandemik, dipandu oleh prinsip teras sosio ekonomi dan kemampanan alam sekitar ekonomi Islam, serta ekuiti sosial, perdagangan adil dan kepenggunaan beretika,” katanya.
Melangkah kehadapan, beliau berkata, kementerian itu akan menumpukan kepada enam keutamaan tahun ini dan berharap industri kewangan Islam akan memberikan sokongan sepenuhnya bagi bidang tumpuan seperti mewujudkan peluang pekerjaan, memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana dan mempercepat pelaksanaan projek khusus bagi memacu pemulihan ekonomi. – Bernama