Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Malaysia tegas hapuskan AIDS menjelang 2030
  • KESIHATAN

Malaysia tegas hapuskan AIDS menjelang 2030

Utusan Sarawak 14 hours ago
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni merakamkan gambar kenangan pada Majlis Perasmian Dialog Serantau ASEAN Mengenai Ubat Antiretroviral (ARV) Mampu Milik dan Bengkel Memperkasakan Ujian Komuniti untuk Populasi Utama yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka hari ini. Foto UKAS

KUCHING: Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam usaha menghapuskan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030, seiring dengan matlamat kesihatan global.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata negara telah mencatat kemajuan yang memberangsangkan dalam respons nasional terhadap HIV menerusi pencapaian rawatan semasa bagi 2024.

“Sebanyak 64 peratus individu yang hidup dengan HIV mengetahui status mereka; daripada jumlah itu, 94 peratus menerima rawatan manakala 93 peratus daripada mereka berjaya mencapai tahap penindasan virus.

“Namun, jurang terbesar masih terletak pada aspek pengesanan awal,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Dialog Serantau ASEAN Mengenai Ubat Antiretroviral (ARV) Mampu Milik dan Bengkel Memperkasakan Ujian Komuniti untuk Populasi Utama yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka hari ini.

TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berucap pada Majlis Perasmian Dialog Serantau ASEAN Mengenai Ubat Antiretroviral (ARV) Mampu Milik dan Bengkel Memperkasakan Ujian Komuniti untuk Populasi Utama yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka hari ini. Foto UKAS

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan yang lebih inovatif dan bersasar amat diperlukan untuk meningkatkan kadar diagnosis, khususnya dalam kalangan populasi utama yang berisiko tinggi.

“Salah satu strategi yang terbukti berkesan ialah pelaksanaan ujian berasaskan komuniti (CBT), yang dikendalikan oleh komuniti sendiri atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diyakini,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif ini turut diperkukuh dengan pelaksanaan Program Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) Kebangsaan yang diperkenalkan pada 2023 dan kini dilaksanakan di 35 klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap isu kelestarian kewangan dalam usaha memerangi HIV, khususnya berikutan penyusutan sokongan dana antarabangsa termasuk daripada Tabung Global dan Pelan Kecemasan Presiden Amerika Syarikat untuk Bantuan AIDS (PEPFAR).

“Dalam konteks ini, akses kepada ubat ARV generasi baharu yang mampu milik seperti Dolutegravir (DTG) dan Tenofovir-Lamivudine-Dolutegravir (TLD) adalah amat penting untuk diteruskan.

“Kita perlu meneroka pendekatan baharu termasuk pelesenan sukarela dan pembelian secara berkelompok melalui mekanisme serantau seperti Medicines Patent Pool,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan kehadiran para delegasi dari negara-negara ASEAN serta rakan kerjasama antarabangsa dan menyifatkan platform tersebut sebagai peluang penting untuk mengukuhkan solidariti serantau dalam menangani isu HIV dan AIDS.

“Dialog ini bukan sahaja memperkasa kerjasama strategik, malah membuka ruang kepada negara anggota untuk berkongsi pengalaman, inovasi dan pendekatan terbaik ke arah mencapai matlamat bersama menamatkan AIDS di rantau ini,” tambah beliau.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Yayasan AIDS Malaysia, Majlis AIDS Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan kerajaan Sarawak, serta turut disertai pelbagai pihak berkepentingan dari dalam dan luar negara.

-UKAS

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Hospital Bintulu kritikal bekalan darah, dermawan diperlukan segera

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.