Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Malaysia sedia jadi Sekretariat Tetap WZWF – PM Anwar
  • SEMASA

Malaysia sedia jadi Sekretariat Tetap WZWF – PM Anwar

Utusan Sarawak 7 hours ago
DITEMUI… Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan WZWF Mesyuarat Tahunan ke-14 dan Persidangan Antarabangsa 2025 di Pusat Acara Hikmah Exchange.

KUCHING: Malaysia bersedia menawarkan diri sebagai Sekretariat Tetap Forum Zakat dan Waqf Dunia (WZWF) bagi memperkukuh kedudukan negara sebagai hab pengurusan zakat dan wakaf dunia, selaras dengan aspirasi memperkasa ekonomi umat Islam di peringkat global.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam teks ucapan khas yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menegaskan bahawa Malaysia komited untuk memainkan peranan strategik dalam memacu tadbir urus zakat dan wakaf yang progresif, berdaya tahan dan berimpak tinggi.

Beliau berkata, instrumen zakat dan wakaf bukan sekadar amal ibadah, malah merupakan aset pembangunan sosial dan ekonomi yang mampu membela golongan rentan, mengurangkan ketidakseimbangan kekayaan, serta memacu kemakmuran sejagat.

Perdana Menteri menekankan bahawa tema forum tahun ini, ‘Takdir Transformasi Baharu (Tajdid) untuk Wakaf dan Zakat’, selaras dengan semangat pembaharuan yang digerakkan kerajaan melalui inovasi digital, kerjasama rentas sempadan, dan pelaburan berimpak.

Transformasi ini menuntut sinergi antara institusi zakat dan wakaf di seluruh dunia untuk membentuk satu rangka kerja bersama, yang bukan sahaja memacu kebajikan umat Islam, tetapi turut menyumbang kepada agenda kemanusiaan sejagat.

SUASANA forum WZWF 2025 di Kuching, menyatukan pakar dan pemimpin dunia dalam memajukan zakat dan wakaf.

Beliau turut menegaskan bahawa zakat dan wakaf bukan sahaja instrumen kewangan, tetapi asas kepada pembangunan peradaban yang adil dan berdaya tahan, termasuk dalam pendidikan, kesihatan, perumahan, dan inovasi digital.

Dalam majlis sama, Deklarasi Kuching WZWF 2025 turut dilancarkan, merangkumi sepuluh resolusi utama hasil perbincangan selama tiga hari yang melibatkan lebih 400 peserta dari 37 negara.

Deklarasi ini menekankan bahawa zakat dan wakaf adalah dua instrumen yang tidak boleh dipisahkan, pengurusan yang terintegrasi dapat membentuk ekosistem yang berdaya tahan, memperkasakan komuniti, memulihkan maruah, dan memacu transformasi sosioekonomi sejajar dengan prinsip Maqasid al-Shariah.

Menurut Setiausaha Agung WZWF, Datuk Dr. Mohd Ghazali Md Noor, forum ini menekankan kepentingan penempatan zakat dan wakaf sebagai asas peradaban baharu. 

Beliau menegaskan bahawa institusi zakat dan wakaf perlu diperkuat dari segi tadbir urus, integriti, dan keberkesanan impak.

SUASANA forum WZWF 2025 di Kuching, menyatukan pakar dan pemimpin dunia dalam memajukan zakat dan wakaf.

Antara cadangan strategik termasuk pengaktifan aset wakaf terbiar menjadi projek produktif, penggunaan teknologi digital untuk ketelusan, pembangunan indeks impak wakaf, dan pelaksanaan program transformasi digital bagi pemerkasaan ummah.

Deklarasi Kuching juga menyeru semua negara anggota WZWF untuk mengambil tanggungjawab bersama dalam menangani krisis kemanusiaan, termasuk menyokong rakyat Palestin melalui zakat, wakaf, pendidikan, kesihatan, dan pemulihan kehidupan.

Beliau menegaskan bahawa pengurusan zakat dan wakaf bukan sekadar amal kebajikan, tetapi strategi pembinaan peradaban yang menyatukan umat Islam secara global.

Dalam sidang media selepas majlis, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mewakili Perdana Menteri, berkata Sarawak sebagai tuan rumah menunjukkan contoh amalan pengurusan zakat dan wakaf yang harmoni dalam masyarakat majmuk, sejajar dengan semangat Malaysia MADANI.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak, Majlis Islam Sarawak, dan Tabung Baitulmal Sarawak, yang telah memudahkan urusan WZWF dan memastikan forum berlangsung dengan jayanya.

Dr. Mohd Na’im menekankan bahawa hasil forum tidak boleh hanya tinggal di atas kertas, tindakan susulan perlu diambil bagi memastikan sepuluh resolusi forum dilaksanakan secara berkesan, termasuk memastikan pengurusan zakat dan wakaf berimpak tinggi dan berteraskan nilai integriti, telus, dan inklusif.


Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia menerima maklum balas positif daripada anggota WZWF mengenai cadangan menjadikan negara ini sebagai Sekretariat Tetap, dan perincian lanjut akan dibincangkan dalam mesyuarat khas selepas forum.

Cadangan ini termasuk meneliti peranan Kuala Lumpur sebagai pusat rujukan global untuk Kewangan Sosial Islam, yang akan menyelaras penyelidikan, latihan, dan kolaborasi antarabangsa dalam bidang zakat dan wakaf.

Forum WZWF 2025 yang berlangsung pada 13 hingga 15 Oktober ini turut disertai wakil daripada Bank Dunia, Bank Pembangunan Islam (IsDB), Majlis Agama Islam Negeri, Pusat Wakaf Dunia, serta institusi akademik dan penyelidik antarabangsa.

Majlis penutupan diakhiri dengan penyerahan Deklarasi Kuching kepada Pengerusi WZWF, disaksikan oleh Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan wakil delegasi luar negara, menandakan komitmen Malaysia dalam membimbing dunia Islam ke arah pengurusan zakat dan wakaf yang strategik, inklusif dan lestari.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Harga runcit petrol kekal hingga 22 Oktober ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.