
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia dengan kerjasama Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) menganjurkan Pameran Pendidikan Malaysia 2025 di Windhoek pada Selasa, bertujuan mempromosikan pendidikan tinggi Malaysia serta mengukuhkan hubungan pendidikan dengan Namibia.
Pameran yang berlangsung di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek itu menarik kehadiran lebih 200 pelajar dan tetamu Namibia untuk meneroka peluang melanjutkan pengajian tinggi yang diiktiraf secara global di Malaysia.
Kuasa Usaha Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya berkata kerjasama dengan LUCT mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Malaysia dalam menyokong universiti tempatan untuk meluaskan jaringan antarabangsa serta menarik lebih ramai pelajar asing ke Malaysia.
“Inisiatif ini bukan sahaja mempromosikan peluang pengajian di Malaysia, tetapi turut menyokong operasi LUCT di Namibia.
“Sejak 35 tahun lalu, LUCT melebarkan pengaruhnya ke seluruh Asia, Eropah dan Afrika, termasuk melalui kampus terbaharunya di Namibia yang dibuka pada Julai 2021,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.
LUCT, yang diasaskan oleh Allahyarham Tan Sri Lim Kok Wing di Cyberjaya pada 1991, memberi penekanan khas kepada kreativiti dan inovasi dalam pendidikan.
Mohamad Rameez turut menekankan bahawa penganjuran program itu mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan dan institusi pendidikan swasta dalam memperkukuh hubungan pendidikan Malaysia–Namibia.
Beliau berkongsi bahawa Malaysia kini memiliki 20 universiti awam, 54 universiti swasta, 39 kolej universiti swasta, 10 kampus cawangan universiti luar negara, 331 kolej swasta, 36 politeknik dan 105 kolej komuniti — kesemuanya membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang kukuh dan mudah diakses.
Beliau turut menyatakan bahawa universiti di Malaysia dikategorikan kepada institusi berasaskan penyelidikan, TVET, fokus khusus dan institusi Islam.
Ini termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Selain itu, beliau juga mengetengahkan institusi swasta dan antarabangsa seperti Monash University Malaysia, University of Nottingham Malaysia dan Curtin University Malaysia.
“Malaysia kini berada pada kedudukan ke-10 negara paling aman di dunia, menjadikannya destinasi pengajian yang ideal untuk pelajar antarabangsa.
“Melalui inisiatif “Global Classroom” , LUCT turut menawarkan peluang kepada pelajar untuk mengikuti pengajian selama satu atau dua semester di kampusnya di Malaysia,” kata beliau.
Sementara itu, Pengarah LUCT Namibia Josiah Mwashita, merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia atas sokongan dalam mengukuhkan kerjasama pendidikan awam-swasta antara kedua-dua negara.
Para tetamu turut berpeluang melawat reruai pendidikan dan pameran akademik yang menampilkan penawaran program LUCT di Namibia dan Malaysia, diikuti sesi pengalaman budaya dengan hidangan Malaysia seperti Rendang Kambing, Kari Ayam dan Suji Halwa.– Bernama