KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memulakan persiapan awal serta bersepadu bagi mengurangkan kesan fenomena Super El Nino yang dijangka melanda negara dan berpotensi membawa risiko besar terhadap kesihatan awam, keselamatan air, pertanian serta alam sekitar, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata ramalan bahawa Malaysia mungkin mengalami fenomena itu pada November ini, dengan keadaan dijangka memuncak antara bulan tersebut hingga Januari depan, harus dianggap sebagai amaran serius kepada pihak berkuasa dan orang ramai untuk memperkukuh persiapan menghadapinya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan itu tidak sepatutnya mencetuskan panik, sebaliknya perlu mendorong tindakan awal bagi mengurangkan risiko yang berpotensi berlaku akibat cuaca panas dan kering yang berpanjangan.
“Pihak berkuasa meteorologi telah memberikan amaran bahawa fenomena itu boleh menyebabkan suhu meningkat dengan ketara, tempoh kering berpanjangan, pengurangan taburan hujan serta peningkatan risiko jerebu, terutamanya selepas musim monsun.
“Pengalaman El Nino sebelum ini menunjukkan keadaan itu boleh membawa kesan yang meluas, termasuk kekurangan bekalan air, peningkatan kebakaran hutan dan tanah gambut, jerebu rentas sempadan, pengurangan hasil pertanian, ancaman terhadap keselamatan makanan, kesan buruk terhadap kesihatan seperti strok haba dan dehidrasi, serta gangguan kepada aktiviti ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata kumpulan rentan termasuk warga emas, kanak-kanak, pekerja luar dan mereka yang menghidap penyakit kronik merupakan antara golongan yang paling berisiko sepanjang tempoh cuaca panas melampau yang berpanjangan.
Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia perlu mengambil pendekatan yang proaktif, bersepadu dan menyeluruh dengan melibatkan seluruh masyarakat bagi meminimumkan kesan fenomena tersebut.
Antara langkah yang dicadangkan ialah memperkukuh pengurusan sumber air melalui penggunaan air secara berhemah, mengurangkan kebocoran, meningkatkan kapasiti simpanan serta menyediakan pelan kontingensi bagi kawasan yang berisiko mengalami kekurangan bekalan air.
Lee turut menggesa agar pemantauan dan penguatkuasaan dipertingkatkan bagi mencegah pembakaran terbuka serta kebakaran hutan dan tanah gambut, di samping memastikan keupayaan tindak balas kecemasan berada pada tahap yang pantas dan berkesan.
“Kesiapsiagaan kesihatan awam perlu dipertingkatkan melalui penyampaian nasihat yang tepat pada masanya, penubuhan pusat penyejukan di kawasan yang memerlukan serta pendidikan awam mengenai pencegahan penyakit berkaitan haba,” katanya.
Beliau turut menggesa supaya sokongan yang lebih baik diberikan kepada petani melalui penyediaan sistem pengairan yang cekap, penggunaan tanaman tahan kemarau serta bantuan teknikal dan kewangan bagi meminimumkan kerugian. Di samping itu, beliau berkata bekalan elektrik perlu dipastikan tidak terganggu bagi memenuhi peningkatan permintaan untuk tujuan penyejukan.
Selain itu, Lee menekankan keperluan untuk memperluas kempen kesedaran awam berkaitan pemuliharaan air, pencegahan kebakaran dan langkah penjagaan kesihatan diri, selain memperkukuh penyelarasan antara pihak berkuasa Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pelan tindak balas kecemasan dapat diaktifkan dengan segera.
Beliau berkata perubahan iklim menyebabkan kejadian cuaca ekstrem berlaku dengan lebih kerap dan lebih teruk. Justeru, jangkaan berlakunya Super El Nino tidak harus dilihat sekadar sebagai fenomena bermusim, sebaliknya sebagai satu lagi peringatan kepada Malaysia untuk memperkukuh daya tahan iklim dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.
“Kesiapsiagaan sentiasa lebih berkesan dan kurang menelan kos berbanding tindak balas terhadap krisis selepas ia berlaku.
“Perancangan awal serta kerjasama padu antara agensi kerajaan, sektor perniagaan, komuniti dan orang ramai mampu mengurangkan kesan Super El Nino serta melindungi nyawa, mata pencarian dan alam sekitar dengan lebih berkesan,” katanya. – Bernama



