
BINTULU: Malaysia memperkukuh kesiapsiagaan digital negara dengan memberi tumpuan kepada pengupayaan bakat tempatan serta pembangunan ekosistem teknologi yang lebih menyeluruh.
Usaha ini dilakukan dalam rangka mencapai aspirasi Negara Kecerdasan Buatan (AI) 2030.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, komitmen tersebut menekankan penyediaan rangka kerja kukuh bagi memastikan AI dapat dimanfaatkan bagi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan, produktiviti industri serta mutu kehidupan rakyat.

Menurutnya, pendekatan itu turut menyokong agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi keutamaan kepada pemodenan pentadbiran dan pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan AI menjadi pemacu utama transformasi negara, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai Hab AI Serantau melalui pembangunan produk ‘Buatan Malaysia’ serta ekosistem digital yang inklusif.

“Kita mahu bergerak ke arah masa depan di mana Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi mampu mencipta, memiliki dan mengeksport inovasi ke peringkat global,” katanya ketika berucap merasmikan Bintulu Port Digital Day 2025 di Auditorium Menara Kidurong di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, kerajaan kini memberi tumpuan kepada lima bidang utama termasuk pembangunan dasar futuristik, pengukuhan bakat digital, peningkatan kepercayaan digital serta pembinaan infrastruktur generasi baharu yang menyokong industri berteknologi tinggi.
Oleh Carolyne Utih