
AUCKLAND, New Zealand: Malaysia terus memperkukuh kedudukannya di pasaran antarabangsa menerusi penyertaan lapan syarikat tempatan dalam Fine Food New Zealand 2025, pameran perdagangan makanan terbesar di rantau Oceania yang diadakan dua tahun sekali di Auckland, New Zealand.
Penyertaan Malaysia kali ini diketuai oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melalui Pavilion Malaysia.
Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian mewakili pelbagai segmen industri makanan, termasuk produk durian, produk hiliran nenas, sambal sedia dimakan (RTE), minuman dalam tin, makanan kesihatan, hasil perikanan serta produk bebas gluten.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki, dalam ucapan perasmian Pavilion Malaysia menekankan bahawa rantau Oceania mempunyai potensi besar sebagai pasaran baharu bagi produk Malaysia.
“Dengan populasi melebihi 50 juta penduduk termasuk komuniti ASEAN yang besar, rantau ini berpotensi menjadi platform kukuh untuk syarikat tempatan mengembangkan pasaran mereka,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–New Zealand (MNZFTA) yang dimeterai sejak 2010 telah membuka lebih banyak peluang kepada produk Malaysia untuk menembusi pasaran ini dengan lebih mudah.
Antara syarikat yang mencuri perhatian ialah IANA Corporation Sdn. Bhd., satu-satunya wakil dari Sarawak, yang mempamerkan biskut bebas gluten berasaskan tepung sagu, hasil inovasi bersama CRAUN Research Sdn. Bhd.. Produk ini mendapat sambutan positif daripada pengunjung, khususnya pengedar dan pengimport tempatan yang berminat dengan produk berasaskan kesihatan.
Penyertaan Malaysia dalam pameran berprestij ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan industri dalam memperluas capaian produk makanan negara ke pasaran global, seiring usaha meningkatkan eksport sektor agromakanan menerusi penyertaan dalam pameran berimpak tinggi.
Turut hadir Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
-UKAS