
KUALA LUMPUR: ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM2025) manakala logo Malaysia MADANI kekal sebagai logo rasmi sambutan tahun ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pemilihan tema itu menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menjunjung nilai perpaduan dan kesejahteraan.
“Dalam memastikan kebajikan rakyat diberi perhatian, beberapa acara utama telah disusun untuk menyemarakkan semangat jiwa merdeka antaranya Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang akan diadakan pada 27 Julai 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor.
“Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan diadakan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya manakala sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsung pada 16 September di Pulau Pinang dan ia bertepatan dengan amalan penggiliran iaitu setiap tahun kita tukar lokasi sama ada Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri di sini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Mengenai sambutan HKHM2025, Fahmi berkata terdapat 14 program sisipan akan dilaksanakan antaranya Kira Detik Merdeka, Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 dan Wayang Pacak Merdeka.
Selain itu, beliau berkata pengenalan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang pada Hari Kebangsaan tahun lepas bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengibar Jalur Gemilang akan diteruskan dengan penambahan dua kluster baharu iaitu kluster industri dan kluster agensi kerajaan.
“Pada 2024, kita berjaya melaksanakan program ini melibatkan lima kluster dengan jumlah keseluruhan 698 program. Sebelum ini, lima kluster yang terlibat ialah Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Kesihatan, Keselamatan dan Komuniti.
“Program ini menggalakkan rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing, pejabat, premis perniagaan, bangunan kerajaan dan kenderaan persendirian,” katanya.
Fahmi turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga etika penggunaan Jalur Gemilang, termasuk tidak menggunakan bendera yang rosak atau koyak.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai sambutan, lokasi program serta bahan kempen melalui portal rasmi Merdeka360,” katanya.– Bernama