KUALA LUMPUR: Malaysia ditunjukkan jalan keluar dari kempen Piala ASEAN 2024 selepas seri tanpa jaringan menentang seteru tradisi Singapura pada perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan Singapura mengesahkan status sebagai naib juara kumpulan untuk mengiringi juara bertahan Thailand yang mengungguli carta kedudukan ke pusingan kalah mati.
Beraksi di hadapan 31,127 penonton, Malaysia yang wajib meraih kemenangan mempamerkan persembahan bertenaga dan mendominasi permainan dengan sering melancarkan serangan berbahaya ke pintu gawang Singapura dalam usaha memburu jaringan awal.
Serangan demi serangan dilancarkan skuad Harimau Malaya bimbingan Pau Marti Vicente bagaimanapun gagal menembusi gawang pasukan lawan kendalian Tsutomu Ogura itu yang tampil lebih bertahan, menyaksikan kedudukan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama.
Pasukan negara seharusnya mendahului sekurang-kurangnya 2-0 pada babak pertama jika tidak kerana penyudah tumpul Stuart Wilkin pada minit ke-29 dan percubaan Muhammad Haqimi Azim Rosli dalam situasi satu lawan satu yang diselamatkan penjaga gol Mohamad Izwan Mahbud pada minit ke-42.
Bersambung di babak kedua, anak buah Vicente memberikan segala-galanya, namun nasib masih tidak menyebelahi Malaysia apabila percubaan deras Endrick Dos Santos dari luar kotak penalti pada minit ke-48 hanya sedikit melewati tiang gol.
Seminit kemudian, tandukan Muhammad Haqimi berpunca daripada sepakan penjuru berjaya dikeluarkan oleh pertahanan Singapura sebelum skuad ‘The Lions’ hampir mengejutkan Malaysia menerusi tandukan berbahaya Muhammad Amirul Adli Azmi pada minit ke-55.
Tuah terus tidak berpihak kepada Malaysia apabila tandukan penyerang gantian Paulo Josue dan Harith Haiqal Adam Afkar masing-masing pada minit ke-62 dan ke-69 sekadar menggegar palang.
Ketika permainan menghampiri wisel penamat, penjaga gol negara Muhammad Haziq Nadzli menyelamatkan dua percubaan berbahaya Singapura menerusi Ryhan Euan Stewart pada masa kecederaan, sekali gus memastikan gawang negara tidak dibolosi.
Kekecewaan tuan rumah itu turut menandakan perlawanan terakhir Vicente bersama skuad kebangsaan selepas pengendali dari Sepanyol itu mengumumkan untuk meninggalkan pasukan sebaik kempen Piala ASEAN berakhir.
Dalam satu lagi aksi terakhir Kumpulan A, Thailand menewaskan Kemboja 3-2 di Bangkok untuk mengesahkan status juara kumpulan dengan 12 mata, diikuti Singapura (7), Malaysia (5), Kemboja (4) dan Timor-Leste di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Menanti Thailand di separuh akhir adalah naib juara Kumpulan B sementara Singapura akan membuat perhitungan dengan pasukan juara.
Sebagai rekod, Malaysia yang muncul juara edisi 2010 mara sehingga ke peringkat separuh akhir pada edisi lepas. – Bernama