
SINGAPURA: Skuad terjun negara memulakan kempen Kejohanan Akuatik Dunia 2025 dengan langkah kiri apabila gagal menjelmakan keputusan memberangsangkan pada hari pertama saingan yang berlangsung di Pusat Akuatik OCBC, di sini hari ini.
Dalam acara campuran 3 meter dan 10 meter berpasukan, kuartet negara yang dibarisi Datuk Pandelela Rinong, Lee Yiat Qing, Enrique Maccartney Harold dan Elvis Priestly Clement hanya mampu menamatkan saingan di kedudukan ke-16 daripada 21 pasukan dengan kutipan 322.55 mata.
Dominasi acara itu nyata milik China apabila gandingan Chen Yuxi, Cao Yuan, Cheng Zilong dan Chen Yiwen menghadiahkan pingat emas kepada negara mereka selepas mencatat 466.25 mata.
Pingat perak diraih pasukan Mexico yang diwakili Randal Willars Valdez, Alejandra Estudillo Torres, Zyanya Yunuen Parra Martin dan Osmar Olvera Ibarra dengan 426.30 mata, manakala Jepun melengkapkan podium menerusi gandingan Sayaka Mikami, Sho Sakai, Reo Nishida dan Rin Kaneto yang mengumpul 409.65 mata.
Kejohanan Akuatik Dunia 2025 yang berlangsung dari 11 Julai hingga 3 Ogos ini menghimpunkan penyertaan dalam pelbagai disiplin termasuk polo air, terjun, terjun tinggi, renang, renang berirama serta renang perairan terbuka. – Bernama.