
PETALING JAYA: Malaysia dijangka menjadi tuan rumah Sukan SEA pertama yang akan mengguna pakai Kod Anti-Doping Dunia semasa edisi ke-34 temasya itu yang dijadual berlangsung tahun depan.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata langkah strategik yang dipacu oleh Malaysia itu akan memastikan Sukan SEA 2027 mematuhi sepenuhnya Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), sekali gus meningkatkan integriti dan kedudukan temasya tersebut di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata cadangan dari Malaysia itu disokong sebulat suara semasa Mesyuarat Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) Ke-1 (2025-2027) di sini, hari ini.
“Malaysia mempunyai sejarah cemerlang dalam mempelopori perubahan struktur dalam sukan serantau. Langkah terbaharu ini, jika diterima pakai, akan meneruskan legasi 1977 apabila Malaysia menukar nama Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP Games) kepada Sukan SEA seperti sekarang.
“Pada 2017, Malaysia mencipta sejarah dengan memperkenalkan tiga sukan musim sejuk dalam temasya itu. Dengan menyertai WADA secara rasmi, SEAGF akan mengukuhkan komitmennya terhadap sukan yang bersih (daripada bahan terlarang) dan kecemerlangan di peringkat elit,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di sini hari ini.
Kod Anti-Doping Dunia, yang mula diguna pakai pada 2004, merupakan dokumen teras yang menyelaraskan dasar, peraturan dan undang-undang anti-doping dalam organisasi sukan serta dalam kalangan pihak berkuasa awam di seluruh dunia.
Sementara itu, Mohamad Norza berkata mesyuarat itu juga membincangkan tarikh akhir bagi semua Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) untuk mengemukakan rayuan bagi sukan tambahan pada Sukan SEA 2027 menjelang 8 Mei depan.
“Apabila kita menerima rayuan, kita akan berhubung dengan MASOC (Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia) dan Majlis Sukan Negara untuk meneliti sukan-sukan tersebut dan membuat keputusan sama ada ia wajar dipertimbangkan untuk dibawa ke mesyuarat majlis seterusnya yang akan diadakan dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.
Sukan SEA 2027, yang akan melibatkan 38 jenis sukan akan diadakan di Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
Sarawak akan menjadi kluster utama serta lokasi majlis perasmian, dengan 17 sukan dipertandingkan di negeri itu melibatkan renang, angkat berat, bola keranjang, boling, boling padang, e-sukan, gimnastik, golf, kriket, memanah, menembak, muay Thai, petanque, skuasy, taekwondo, tenis dan wushu.
Pulau Pinang pula akan menjadi tuan rumah bagi enam sukan iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, ping pong dan floorball, manakala hanya bola sepak akan diadakan di Johor.
Sementara itu, Kuala Lumpur akan menjadi venue majlis penutupan serta penganjuran 14 sukan melibatkan badminton, berbasikal (Velodrom Kebangsaan, Nilai), bola tampar, bola jaring, ekuestrian, hoki, karate, lawan pedang, luncur ais, olahraga, pencak silat, pelayaran (Langkawi), ragbi dan ski air.- Bernama